KUANTAN, 17 JUN 2021 : Kerajaan Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pagi semalam telah meluluskan tambahan rizab penempatan seluas 7.014 hektar bagi Orang Asli suku Bateq, Kampung Bechah Kelubi, Lipis.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kelulusan bagi rizab penempatan yang terletak dalam Kampung Teluk Gunung, Mukim Batu Yon dibuat di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN).
“Ia bertujuan untuk penempatan Orang Asli Suku Bateq yang telah lama menetap di situ. Ia juga susulan permohonan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Lipis.
“Beliau berkata, kawasan yang dipohon merupakan peluasan kawasan penempatan 163 Orang Asli Benchah Kelubi seluas dua hektar yang telah didirikan 20 buah rumah dengan bantuan Kerajaan serta turut diusahakan tanaman dusun dan getah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata perizaban ini dijangka dapat mencegah penerokaan secara haram oleh pihak luar ke kawasan penempatan Orang Asli suku Bateq ini.
“Perizaban ini ialah sebagai mengiktiraf hak serta memelihara dan melindungi tanah-tanah Orang Asli suku berkenaan yang telah menduduki kawasan tersebut secara tetap selama ini.
“Saya berharap keputusan Kerajaan Negeri ini akan mendatangkan kelegaan dalam kalangan Orang Asli suku Bateq Kampung Bechah Kelubi, dan semoga mereka dapat meneruskan kehidupan harian dengan selesa dan sejahtera, In Sya Allah,” katanya.