KUANTAN, 15 JUN 2021: Tiga buah kilang di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini dikenakan kompaun sebanyak RM34,500 selepas didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Kompuan itu telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Majlis Bandaraya Kuantan dalam satu operasi bersepadu pada malam tadi.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pembangunan), YH. Dato’ Razihan Azaruddin berkata, sebanyak lima kilang diperiksa secara bersama dengan 12 agensi berkaitan di kawasan yang dikenakan PKPD sejak 8 Jun sehingga 21 Jun ini.
“Hasil pemeriksaan itu mendapati tiga kilang telah melakukan pelanggaran dan setiap satu daripada kilang terbabit akan dikenakan kompuan sebanyak RM11,500. Ini menjadikan jumlah kompaun bagi ketiga-tiga kilang adalah sebanyak RM34,500.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah beroperasi melebihi masa dan terdapat pelanggaran terhadap akta buruh apabila terdapat seorang pekerja yang kita dapati telah bekerja lebih 12 jam,” katanya pada sidang media selepas melakukan operasi bersepadu pemeriksaan kilang di Kawasan Perindustrian Gebeng.
Operasi selama 4 jam itu turut disertai 12 agensi penguatkuasa antaranya Jabatan Kesihatan Daerah Kuantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Tenaga Kerja, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MBK.
YH. Dato’ Razihan berkata, mengikut prosedur SOP PKPD, kilang hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi sehingga 8 malam.
Katanya lagi, operasi berkenaan akan dijalankan secara berterusan selain mengingati pihak kilang agar mematuhi garis panduan SOP yang telah ditetapkan bagi memutuskan penularan wabak COVID-19.
“Kita mahu semua pihak sama ada pekerja dan majikan menjaga SOP dan tidak mewujudkan kluster baharu disebabkan ketidakpatuhan pada perintah PKPD,” tegasnya. – PAHANGMEDIA