Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 JUN 2021 : Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menggesa Kerajaan Negeri bertegas kepada semua pelombong agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menjaga dan melindungi ekosistem dan masyarakat setempat.
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dalam satu kenyataan berkata ini berikutan banyak isu tular di media sosial berkaitan dengan kerosakan Tasik Chini akibat aktiviti perlombongan dan banyak pihak telah mengecam Kerajaan Negeri berkaitan isu ini.
“Seperti mana yang kita tahu, aktiviti perlombongan bukan perkara baru dan aktiviti ini sudah berlaku sekian lama sejak dari dahulu lagi. Sejarah-sejarah lama sudah banyak membuktikan bahawa aktiviti perlombongan ini menjadi salah satu keperluan untuk membangunkan sesebuah tempat. Ini kerana di bumi Pahang memang kaya dengan hasil bumi dan sumber mineral.
“Namun begitu, hasil bumi dan sumber mineral perlu diurus dengan baik agar tidak menjejaskan alam sekitar. Sumber-sumber ini juga penting bagi pembangunan rakyat Malaysia khususnya di Negeri Pahang bagi meningkatkan kemudahan dan infrastruktur selain dapat menjaga kebajikan rakyat serta pembangunan belia,” katanya.
Beliau berkata pihak MBNP juga menyeru Kerajaan Negeri mengambil langkah perlu bagi mengembalikan kegemilangan Tasik Chini sebagai kawasan pelancongan.
“…Kerajaan Negeri mengambil segala langkah yang perlu untuk mengembalikan semula kegemilangan Tasik Chini sebagai salah satu kawasan pelancongan dan legenda ternama di Negeri ini, dan sekaligus memberikan sumber pendapatan kepada masyarakat tempatan, khsusnya masyarakat orang asli di Tasik Chini.
“Dengan statusnya sebagai Tapak Biosfera UNESCO, Taman Negeri Tasik Chini seharusnya diangkat sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa setaraf dengan tapak biosfera UNESCO yang lainnya di seluruh dunia,” katanya.
Tambah beliau lagi, komitmen Kerajaan Negeri mewartakan Taman Negeri Tasik Chini sebagai Hutan Simpan Chini adalah bukti keperihatinan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.
“MBNP juga percaya komitmen Kerajaan Negeri untuk mewartakan Taman Negeri Tasik Chini seluas 4,600 hektar sebagai Hutan Simpan Chini dan tiada kelulusan baru diberikan untuk operasi perlombongan seperti diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2020 adalah manifestasi keprihatinan serta kepedulian Kerajaan Negeri kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dalam negeri ini.
“Selaku pergerakan yang mewakili suara anak muda, MBNP sedia untuk bersama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menjaga kelestarian Tasik Chini dan tempat-tempat lain untuk generasi akan datang dan kebaikan kita bersama,” katanya. -PAHANGMEDIA