KUANTAN, 14 JUN 2021: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya meluaskan lagi kawasan Hutan Simpan Chini yang sedia ada seluas 4,600 hektar kepada kira-kira 6,000 hingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna di kawasan Tasik Chini dan sekitar.
Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, YH Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, baginda bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri yang tidak mengeluarkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan baharu di kawasan Tasik Chini sejak tahun 2019.

“Baginda telah meneliti laporan dan gambar yang tular di media sosial berhubung aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini.
“Malah bagi melihat sendiri keadaan tersebut, Baginda telah mengadakan lawatan tapak mengejut semalam (13 Jun 2021) di sekitar kawasan Tasik Chini.
“Baginda juga telah meneliti laporan yang dipersembahkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang berhubung aktiviti perlombongan di kawasan tersebut serta tindakan pemulihan dan pemeliharaan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Katanya beliau lagi, baginda mengambil berat dan akan sentiasa memantau usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan alam sekitar di Negeri Pahang sentiasa terjaga.
“Baginda menyeru agar semua pihak untuk sentiasa mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir yang baik (ESG – Environmental, Social & Governance) supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
“Selain itu, Baginda menyarankan agar semua aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan. Baginda juga mahu kawasan bekas lombong dipulihkan semula dengan penanaman pokok hutan yang bersesuaian,” katanya.
Katanya lagi, baginda juga menitahkan Tasik Chini yang diberi status Tapak Rizab Biosfera UNESCO dapat diberi keutamaan dari sudut peruntukan kewangan dan pembangunan yang lestari oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia serta Kementerian Alam Sekitar dan Air.

“Selain itu, baginda menitahkan supaya mempergiatkan lagi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan Tasik Chini yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.
“Aktiviti penguatkuasaan juga diperkasakan dan dilaksanakan secara bersepadu dan berkala melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan negeri serta persekutuan,” katanya.
Justeru katanya, Baginda bertitah adalah menjadi peranan semua pihak tanpa mengira latar belakang sama ada pihak kerajaan, swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO), termasuk penduduk setempat untuk sama-sama menjaga kawasan Tasik Chini agar keindahan flora dan fauna serta penempatan masyarakat orang asli yang terdapat berhampiran kawasan tersebut akan terus terpelihara. – PAHANGMEDIA