Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUALA LIPIS, 10 JUN 2O21: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) perlu diwujudkan di kawasan perkampungan Orang Asli bagi memastikan tidak berlaku keciciran daripada menerima suntikan vaksin COVID-19.
Ketua Unit Hal Ehwal Orang Asli, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, kebanyakan masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman menghadapi kesukaran untuk keluar dari perkampungan mereka kerana tiada kemudahan pengangkutan.

“Kebanyakan mereka terpaksa menghadapi kesukaran untuk pergi ke PPV berhampiran yang berjarak berpuluh kilometer daripada rumah mereka.
“Ada temujanji isteri dan suami tidak sama dan ini memberikan kesukaran kepada mereka kerana terpaksa beberapa kali ulang alik ke PPV yang jauh daripada penempatan mereka di pedalaman,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata sehingga kini katanya, ramai masyarakat Orang Asli telah bersetuju untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 tetapi mereka tidak dapat mendaftar secara atas talian kerana kekangan kemudahan telefon bimbit dan rangkaian internet.
“Mereka terpaksa dibantu dan dibimbing untuk mengisi borang bagi pendaftaran secara manual sebelum didaftarkan ke dalam sistem oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri,” katanya.
Beliau berharap, usaha pemvaksinan di kalangan masyarakat Orang Asli akan dapat diselesaikan segera sekali gus dapat memusatkan PPV di perkampungan mereka untuk memastikan setiap daripada mereka mendapat perlindungan sewajarnya.
“Kekangan kemudahan kerana ketiadaan telefon bimbit dan rangkaian internet juga menyebabkan mereka tidak dapat mengakses temujanji yang telah ditetapkan untuk mereka suntikan.
“Justeru, pihak bertanggungjawab perlu menyusun atur temujanji masyarakat Orang Asli dengan lebih teliti supaya tidak berlaku keciciran untuk menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya. – PAHANGMEDIA