Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 10 JUN 2021: Sebanyak 110 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Negeri Pahang bertemu secara maya bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi dalam pandemik COVID-19 ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, beberapa perkara telah dibincangkan di dalam pertemuan ini meliputi masalah ketika proses penerimaan suntikan vaksinasi oleh orang ramai terutamanya warga emas.
“Fokus utama pertemuan ini adalah untuk membincangkan mengenai pendaftaran vaksin COVID-19 melibatkan proses pendaftaran yang dijalankan oleh sukarelawan, masalah yang dihadapi untuk orang ramai mendaftar dan menerima vaksin.
“Kita juga membincangkan kerjasama daripada NGO ini bagi memudahkan atau menyelesaikan semua permasalahan yang timbul ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika pertemuan santai melalui Google Meet, semalam.
Beliau berkata, pertemuan ini adalah salah satu cara oleh Kerajaan Negeri mengambil berat permasalahan yang dihadapi oleh NGO ini terutamanya mereka yang menjadi sukarelawan di lapangan.
“Kita mengambil langkah mengadakan pertemuan ini bagi mendengar dan memberi maklum balas tentang apa yang telah dan boleh dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk perkara yang dibangkitkan.
“Kita juga mengambil maklum semua cadangan yang diberikan dan semua ini telah kita kumpul untuk di bawa ke pengetahuan YAB Menteri Besar dan YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama di antara Kerajaan Pahang dengan NGO di negeri ini telah terjalin dengan baik dan ia menjadi platform untuk Kerajaan Negeri mengetahui masalah daripada orang ramai.
“Mereka (NGO) merupakan tonggak dan nadi Kerajaan Pahang terutamanya ketika kita berada di dalam keadaan pandemik COVID-19 seperti sekarang. Kerajaan Negeri juga sentiasa mengalu-alukan dan menanti penyertaan pihak NGO di dalam apa jua program di negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau lagi, pertemuan susulan akan dijalankan dalam masa terdekat mengikut kumpulan sasaran bagi membincangkan lebih mendalam mengenai permasalahan yang timbul. – PAHANGMEDIA