KUANTAN, 4 JUN 2021: Semua masjid dan surau kebenaran Jumaat (SKJ) akan dibuka untuk solat Jumaat sama ada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) atau pun kawasan hotspot.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz berkata, pelaksanaan itu selaras dengan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah serta Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan persetujuan muktamad tiada masjid yang ditutup.

Beliau berkata, kehadiran jemaah untuk solat Jumaat ditetapkan dengan seramai 50 orang jemaah di Masjid Negeri, 50 orang jemaah di Masjid Daerah, 12 orang jemaah di Masjid Kariah dan 12 orang jemaah di Surau Kebenaran Jumaat (SKJ).
Menurut beliau, kehadiran jemaah untuk solat fardhu pula ditetapkan dengan seramai 12 orang Jemaah di Masjid Negeri, 12 orang Jemaah di Masjid Daerah, 12 orang Jemaah di Masjid Kariah, 12 orang Jemaah di surau manakala bagi kawasan hotspot pula jumlah Jemaah ditetapkan seramai empat orang sahaja di semua masjid dan juga surau.
Katanya, penetapan kawasan hotspot ditentukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah di mana dalam kawasan PKPD bukan semuanya dikategorikan sebagai hotspot.
“Bagaimanapun bagi kawasan yang diarahkan tutup seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sepertimana terkandung dalam SOP, memang kekal ditutup berikutan kebolehjangkitan kepada orang awam,” katanya ketika ketika dihubungi Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Beliau juga menjelaskan, segala aktiviti pengajian ilmu tidak dibenarkan untuk dilaksana di semua masjid dan surau sepanjang tempoh PKPD dan PKP.
YH Dato’ Dr Haji Zulkifle juga berkata, ahli kariah yang telah dikenalpasti tidak bergejala dan yang telah menerima jemputan serta menerima vaksin diberikan keutamaan untuk hadir solat Jumaat dan solat fardhu dengan hanya dibenarkan dari kalangan ahli kariah yang bermastautin sahaja.
Beliau berkata, bukan warganegara tidak dibenarkan hadir ke masjid dan surau sepanjang tempoh PKP dan PKPD dilaksanakan.
“Pihak JAIP akan membuat pemantauan dan boleh mengambil tindakan kepada mana-mana masjid atau surau yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya. – PAHANGMEDIA