Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 MEI 2021: Kerajaan Pahang berusaha membendung impak atau kesan langsung ekoran peningkatan jangkitan COVID-19 di negeri ini yang mengganggu pentadbiran negeri termasuklah sistem pertahanan dan kawalan keselamatan.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, Kerajaan Negeri bakal berhadapan dengan impak yang besar jika keadaan meruncing ketika ini tidak dapat dikawal bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran negeri agar tidak mendatangkan kesusahan kepada rakyat.
Beliau berkata, apabila sesuatu agensi kerajaan melibatkan sektor pentadbiran dan keselamatan terpaksa ditutup ekoran berlaku jangkitan di lokasi berkenaan, sudah pasti agensi terbabit perlu ditutup sekaligus urusan berkaitan tidak dapat dijlalankan seperti biasa.

“Wabak pandemik ini boleh melumpuhkan pertahanan dan keselamatan jika jangkitan melibatkan petugas berkaitan.
“Inilah bahayanya COVID-19 sekiranya tidak dikawal kerana boleh menyerang kerajaan termasuklah jabatan-jabatan kerajaan dan kita juga bimbang jika ia menyerang beberapa perkhidmatan berkaitan keselamatan tambahan pula di daerah Kuantan ini terletaknya sistem pertahanan utama negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Bicara Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pahang Media di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Tambahnya, pelbagai impak dapat dilihat apabila kes jangkitan melibatkan petugas dan pekerja di sesebuah agensi yang terpaksa ditutup seperti penutupan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Hospital UIAM dan beberapa jabatan kerajaan lain malah Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang juga pernah ditutup sebanyak empat kali.
Dato’ Sri Dr Sallehuddin berkata, penutupan setiap agensi ini pasti memberikan impak dan kesan berbeza terhadap keperluan rakyat yang berkaitan akibat penularan wabak di agensi terbabit.
Justeru, baru-baru ini Kerajaan Pahang telah mengeluarkan kenyataan bahawa sesiapa yang mahu berurusan dengan pejabat dan kaunter Kerajaan Negeri perlu mendaftar program vaksinasi melalui MySejahtera dan SICP dan telah bersetuju atau sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Tindakan ini diambil bagi menggalakkan rakyat di negeri ini mendaftar sebagai penerima vaksin bagi memastikan kita mendapat bekalan vaksin yang mencukupi untuk semua rakyat di negeri ini. Sejak beberapa hari ini jumlah mereka yang mendaftar sebagai penerima vaksin meningkat sehingga 12,000 pendaftar baharu pada semalam,” katanya. – PAHANGMEDIA