YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak ketika pada Program Bicara Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pahang Media di Wisma Sri Pahang hari ini.

COVID-19: PENDUDUK DISIPLIN MAMPU KAWAL KES SPORADIK

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 28 MEI 2021 : Sikap penduduk dan orang ramai yang berdisiplin sepanjang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terbukti berjaya memutuskan kes jangkitan sporadik COVID-19 di negeri ini.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, beberapa lokasi yang telah ditamatkan lebih awal PKPD kini mencatatkan sifar jangkitan COVID-19 kerana sikap mereka yang patuh terhadap setiap arahan dan SOP yang ditetapkan kerajaan dan pihak berkuasa terlibat.

Jelasnya, lokasi tersebut adalah Taman Guru Jalan Gambang, lima perumahan dan perkampungan di Pekan, Kuala Krau di Temerloh, Genting Highlands, Muadzam Shah dan Dong di Raub.

“Kerana itu kerajaan memohon kerjasama daripada penduduk tempatan khususnya lokasi yang dikenakan PKPD kerana penyertaan penduduk adalah sangat penting dan membantu dalam usaha untuk menghentikan penularan COVID-19 ini.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak

“Paling utama adalah patuh kepada SOP dalam usaha untuk membantu orang lain di sekeliling kita kerana usaha ini memerlukan semua pihak dalam menghayati dan memahami komitmen ini untuk memastikan kita mencapai sifar kes jangkitan selepas PKPD ditamatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Pahang yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Pahang Media di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat lapan lokasi yang dikenakan PKPD di negeri ini.

Jelasnya, tindakan PKPD ini diambil supaya dapat mengurangkan kadar jangkitan dalam komuniti sekali gus dapat menurunkan kadar kebolehjangkitan (R-naught) di bawah 1 berbanding 1.23 ketika ini.

“Bagi kes-kes sporadik, setiap seorang pesakit boleh melahirkan 10 kes sekali gus mewujudkan kluster baharu, kerana itulah kita mengenakan PKPD di beberapa kawasan bagi menurunkan R-naught tersebut.

“Bagi mengawal kes sporadik ini mereka perlu dikuarantin selama 10 hingga 21 hari (bagi varian India) dengan mengasingkan diri sehinggalah virus itu mati dengan sendirinya dan tidak dapat menjangkiti orang lain,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds