KUANTAN, 14 MEI 2021: YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari merayu kepada semua rakyat Pahang khususnya penduduk Kuantan untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ini berikutan situasi terkini wabak pandemik COVID-19 di negeri ini yang semakin membimbangkan yang sehingga kini mencatatkan sebanyak 178 kes positif baharu.
Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, Sehingga 5 petang hari ini, daripada 178 kes positif baharu yang dilaporkan di Pahang, 135 kes daripadanya melibatkan daerah Kuantan termasuk dengan kemunculan kluster baharu tempat kerja dikenali Kluster Menara Jalan Putra.
“Empat hari sebelumnya pun, turut menunjukkan bilangan kes positif baharu yang tinggi di daerah Kuantan berbanding seluruh Pahang iaitu 38 kes daripada 77 kes pada 10 Mei; 40 kes daripada 85 kes pada 11 Mei; 39 kes daripada 63 kes pada 12 Mei; dan, 22 kes daripada 56 kes pada 13 Mei.
“Selain itu, sudah terdapat empat kawasan dalam daerah Kuantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk Taman Tanah Putih Baharu yang masih berkuatkuasa, bermula 5 Mei sehingga 18 Mei.
“Tiga kawasan lain yang pernah dikenakan PKPD sebelum ini (tahun lalu) dan telah tamat tempoh penguatkuasaannya ialah Indera Mahkota 2, Astaka Village dan Galing,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari.
Katanya, maklumat-maklumat yang diperolehi ini sangat membimbangkan, disebalik saranan berkali-kali yang dibuat oleh beliau sebelum ini termasuk terbaharu, dalam perutusan sempena Hari Raya Aidil Fitri 1442 Hijrah.
“Oleh itu, saya sekali lagi merayu agar rakyat Pahang khususnya penduduk Kuantan, memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh MKN dan KKM.
“Saya bimbang jika situasi sekarang berlarutan, malah berlaku lagi peningkatan terutamanya di daerah Kuantan, MKN mungkin akan mencadangkan langkah-langkah yang lebih ketat lagi bagi membendunginya,” katanya. – PAHANGMEDIA
Oleh: Fairus Mohd
KUANTAN, 26 OKTOBER 2020: Kekuatan penugasan pasukan pemantau prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP) telah ditambah bagi memantapkan lagi usaha permantauan dan pemeriksaan di lokasi awam dan tumpuan ramai.
Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, selain itu, penugasan sekatan jalan raya (SJR) turut dilakukan meliputi sempadan daerah dan negeri.
“Pertambahan anggota ini dapat melicinkan usaha pemantauan yang dilakukan setiap hari malah memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan.
“Tindakan kompaun sentiasa menanti mereka yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini.
Sementara itu, Dato’ Sri Abd Jalil berkata, sebanyak 26 buah premis dan dua individu dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam pemantauan yang dilakukan semalam.
Menurutnya, sebanyak 86 buah pasukan melakukan 1574 pemantauan di kawasan tumpuan awam termasuk tempat riadah, terminal bas dan teksi serta pasar awam atau pasar tani.
“Pemantauan dan pemeriksaan turut dilakukan di premis perniagaan, kilang, bank, tempat ibadah serta tapak pembinaan di sekitar negeri Pahang.
“Nasihat dan amaran juga telah diberikan kepada orang awam agar terus mengamalkan pemakaian pelitup separuh muka dan mematuhi penjarakan fizikal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 1,362 orang telah ditahan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac sehingga PKPP yang berlangsung sehingga semalam.
“Seramai 586 orang telah dituduh di mahkamah sepanjang tempoh sama dan dikenakan denda di atas keingkaran mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA