KUANTAN, 14 MEI 2021: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kompleks SUKPA di sini akan kembali dibuka bermula petang ini bagi menampung pesakit COVID-19 berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata, keputusan itu dibuat di dalam mensyuarat Jawatankuasa Task Force COVID-19 Negeri Pahang hari ini berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman
“Setakat ini dua PKRC di Pahang semakin penuh iaitu di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuantan kini menempatkan seramai 228 pesakit (305 kapasiti) dan Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan(I-KPKT) menempatkan seramai 119 pesakit (200 kapasiti).
“Justeru Jawatankuasa Task Force COVID-19 Negeri Pahang membuat keputusan untuk membuka kembali PKRC Kompleks SUKPA bermula hari ini bagi menampung pesakit COVID-19,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini petugas PKRC sedang dalam proses persediaan bagi menerima pesakit COVID-19 yang dijangka akan memasuki pusat berkenaan bermula malam ini.
“PKRC Kompleks SUKPA ini mampu menempatkan seramai kira-kira 250 pesakit pada satu-satu masa dan akan menempatkan pesakit lelaki manakala pesakit wanita di ILKKM Kuantan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jawatankuasa Task Force COVID-19 Negeri Pahang juga bercadang untuk membuka satu lagi PKRC di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) jika kes COVID-19 terus meningkat di Pahang.
“Ini adalah persediaan kita jika kes COVID-19 terus meningkat dan kapasiti PKRC sedia ada terus meningkat,” katanya. – PAHANGMEDIA