Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Ustaz Rosli Abdul Jabar menunjukkan perjanjian Muafakat Nasional dalam satu majlis di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang.
MUAFAKAT NASIONAL PAHANG METERAI PERJANJIAN
Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 28 APRIL 2021: Badan Perhubungan UMNO Pahang bersama PAS Pahang hari ini memeterai perjanjian Muafakat Nasional dalam satu majlis di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang di sini.
Perjanjian itu ditandatangani Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pesuruhjaya PAS Pahang, YB Ustaz Rosli Abdul Jabar .
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy ketika membaca kenyataan bersama antara UMNO Pahang dan PAS Pahang berkata, Muafakat Nasional Pahang ingin menegaskan kesepakatan yang telah terbina selama ini akan terus diperkasakan sesuai dengan sosio politik hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, Muafakat Nasional akan menjadi benteng kepada sebarang ancaman dan ganggu gugat kepada perpaduan ummah, sentiasa mengajak kepada kesepakatan Melayu Islam dan menterjemahkannya melalui tindakan Kerajaan Negeri dan gerak kerja parti.
“Justeru bagi mengukuhkan Muafakat Nasional Pahang dan tanda keikhlasan, UMNO Pahang tidak akan meletakkan calon di lapan kerusi Dewan Negeri yang dimenangi PAS pada PRU-14.
“UMNO Pahang juga tidak akan menyokong dan bekerjasama dengan mana-mana calon yang bertanding di lapan kerusi tersebut kecuali calon dari PAS,” katanya dalam program berkenaan.
“Begitu juga sebaliknya, kita berharap PAS Pahang berpandukan persetujuan itu tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi dimenangi BN pada PRU-14 dan tidak akan menyokong mana-mana calon, kecuali dari BN atau UMNO yang dipilih sebagai calon di kerusi terbabit,” katanya.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dan YB Ustaz Rosli bagaimanapun bersetuju untuk membincangkan lebih lanjut mengenai kedudukan sembilan lagi kerusi DUN yang ketika ini disandang wakil rakyat daripada Pakatan Harapan.
“Muafakat Nasional yang diterajui bersama antara UMNO dan PAS yang selama ini menjadi parti dominan Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik dan kemakmuran Negeri ini,” katanya.-PAHANGMEDIA