YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada keluarga Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi, 20, yang dipilih melanjutkan pengajian ke Harvard College di Amerika Syarikat.

ANAK JATI PAHANG DIPILIH KE HARVARD COLLEGE TERIMA SUMBANGAN RM10,000

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 23 APRIL 2021: Kejayaan Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi, 20, yang dipilih melanjutkan pengajian ke Harvard College di Amerika Syarikat turut mendapat perhatian Kerajaan Pahang yang tampil menghulurkan sumbangan berjumlah RM10,000.

Sumbangan menerusi Yayasan Pahang itu disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kepada ibunya, Puan Rozita Abdul Hamid yang mewakili Muhammad Hamdi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Muhammad Hamdi berkata, sumbangan ini dapat membantunya dalam persiapan untuk ke Harvard College, sekolah sarjana bagi Harvard University pada bulan Ogos ini.

“Saya memohon kepada semua supaya dapat mendoakan kejayaan saya ketika di sana. Terima kasih kepada Yayasan Pahang dengan sumbangan ini,” katanya dalam sidang video pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Menteri Besar Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di sini malam tadi.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, Barisan EXCO Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi.

Turut hadir Barisan EXCO Kerajaan Pahang

Pada majlis itu juga, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan penghargaan kepada Pasukan Bahas Guru Pahang yang telah mencatat sejarah sejarah apabila memenangi Pertandingan Bahas Guru Peringkat Kebangsaan 2021 selepas 13 tahun.

Sementara itu, Puan Rozita berkata, penat lelahnya selama ini yang menumpukan perhatian terhadap akademik anak sulungnya itu ternyata tidak sia-sia.

“Dia anak yang terang hati dan selalu ambil inisiatif sendiri untuk belajar dan sememangnya sudah tentu membanggakan kami sekeluarga. Pengorbanan saya dari segi masa dan wang untuk dia berjaya dalam pelajaran akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy yang juga Pengerusi Yayasan Pahang dalam ucapannya berkata, Kerajaan Pahang berbangga dengan pencapaian anak jati Kuantan itu yang mengharumkan nama Pahang dan Malaysia.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi. Seluruh Rakyat Pahang kagum dan berbangga dengan kejayaan ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download