Pemantauan pematuhan SOP Bazar Ramadan di bandar Raub oleh pihak berkuasa tempatan.
RENTAS NEGERI, TIDAK PATUH SOP JADI PUNCA KES COVID-19 KEMBALI MENINGKAT DI PAHANG
Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 17 APRIL 2021 : Pertambahan kes jangkitan COVID-19 di Pahang baru-baru ini berpunca daripada jangkitan luar akibat rentas negeri sekali gus menyebabkan penularan tempatan selain kegagalan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP)
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Shah Zakaria berkata, kebanyakan kes penularan yang besar melibatkan Kluster Paya Pulai yang telah diarahkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Shah Zakaria.
“Penyebaran yang besar adalah meilbatkan Kluster Paya Pulai yang telah pun diarah PKPD tetapi sebelum itu kluster ini telah pun merebakkan jangkitan kepada kes-kes di Kuantan, Jerantut dan Cameron Highlands,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan perlu bertegas terhadap kebenaran merentas negeri terutama apabila tiba musim perayaan tidak lama lagi.
Selain itu, beberapa kes penyebaran tempatan turut melibatkan institusi pendidikan sehingga menyebabkan sebanyak 15 sekolah di negeri ini diarahkan tutup.
Malah, pihak MKN juga akan melakukan pemantauan ketat ke sekolah-sekolah bermula Isnin depan bagi memastikan tahap kepatuhan SOP di kalangan warga sekolah.
Ditanya tentang Ops Bazar Ramadan, beliau berkata, pihaknya memandang tegas berhubung pematuhan SOP di bazar-bazar seluruh Pahang dan melakukan pemantauan kerap di seluruh daerah di Pahang.
“Jika ada jangkitan di bazar akibat ketidakpatuhan SOP, kita akan tutup bazar itu. Jadi kita minta supaya pengusaha-pengusaha bazar pastikan pematuhan SOP dengan menegur pengunjung atau pembeli supaya mereka beratur dan patuh SOP,” katanya.
Katanya, mana-mana individu yang gagal mematuhi SOP akan dikenakan kompaun dan diambil tindakan sewajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda bersama Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Hamdan Hussin melakukan tinjauan di bazar Ramadan di Stadium Darul Makmur baru-baru ini.
Sementara itu, beliau turut bersetuju tindakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan melarang warga emas dan kanak-kanak berkunjung ke bazar dan wajar dicontohi daerah-daerah lain.
Encik ZairaSyahli Shah juga memohon kerjasama daripada semua pihak sama ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mahu pun orang awam untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sebarang pelanggaran SOP.
Orang ramai juga diminta patuh kepada SOP dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan menggunakan cecair pembunuh kuman bagi mengekang gelombang keempat penularan COVID-19.
Selain Kluster Paya Pulai, kluster lain yang dikesan di negeri ini adalah Kluster Sri Layang, Kluster IM3, Kluster Tembok Mempaga, Kluster Padang Manggis, Kluster Teknologi Peramu Jaya dan yang terbaru Kluster Seri Kuantan serta saringan kontak rapat, saringan bergejala, saringan pengembara dan saringan OKT.
Sehingga hari ini, empat daerah telah diklasifikasikan sebagai zon merah iaitu Kuantan, Pekan dan Temerloh dengan 190 kes aktif di seluruh negeri.-PAHANGMEDIA