Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin (depan, empat dari kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda (depan, tiga dari kanan) ketika mengadakan Lawatan Kebersihan Jalan Pantai dan Persisiran Pantai di Pantai Sepat, di Kuantan hari ini.

WARGA EMAS, KANAK-KANAK DILARANG KE BAZAR RAMADAN DI KUANTAN

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
 
KUANTAN, 16 APRIL 2021: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperketat prosedur operasi standard (SOP) di bazar-bazar Ramadan di sekitar Daerah Kuantan dengan melarang warga emas dan kanak-kanak daripada mengunjungi kawasan tumpuan berkenaan.
 
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, tindakan itu dibuat berikutan terdapat peningkatan kes jangkitan COVID-19 di daerah Kuantan.
 
Beliau berkata, kesemua penganjur bazar, peniaga dan pengunjung juga perlu mematuhi SOP, peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh MBK terutama ketika mengunjungi bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa.
 
“MBK akan mengambil langkah mengenakan kompaun dan membatalkan kebenaran berniaga sekiranya berlaku pelanggaran SOP atau terdapat kes COVID-19 di mana-mana bazar, malah kita akan mengambil tindakan serta-merta,” katanya.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Lawatan Lawatan Kebersihan Jalan Pantai dan Persisiran Pantai di Pantai Sepat, di sini, hari ini.
 
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda dan Pengarah SWCorp Negeri Pahang, Tuan Sharudin Hamid.
 
Beliau berkata, pihak MBK sangat tegas terhadap pengawalan jumlah pengunjung ke bazar Ramadan dalam satu-satu masa dengan menggunakan sistem bernombor yang diberikan kepada orang ramai.
 
Bagaimanapun, beliau meminta agar orang ramai yang beratur untuk menunggu giliran memasuki bazar Ramadan supaya dapat menjaga jarak fizikal demi keselamatan masing-masing.
 
“Kita akan akan sentiasa membuat pengumuman, mengadakan rondaan dan pemantauan dari udara menggunakan ‘drone’ bagi memberi ingatan kepada semua pengunjung tentang SOP dan penjarakan sosial,” jelasnya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

This will close in 0 seconds