Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Pahang akan menyalurkan bantuan kebajikan kepada mangsa keganasan rumah tangga, Puan Nur Iman Azman yang mengalami kecederaan serius selepas dipercayai di pukul suaminya baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, lawatan kebajikan ini bertujuan meninjau keadaan mangsa serta mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan bagi meringankan bebannya.
“Okey hari ni saya bersama dengan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menziarahi Puan Nur Iman Azman yang baru-baru ni telah didera oleh suaminya lah. Dengan memberikan kesan kepada fizikal.

“Termasuklah ditumbuk di bahagian mata yang mana terpaksa memerlukan pembedahan untuk menjadikan mata dia kembali elok. Kalau tak ada pembedahan, ia akan memberikan kesan jangka panjang untuk penglihatan beliau,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui JKM akan mempertimbangkan bantuan kanak-kanak untuk dua anak mangsa, memandangkan mangsa tidak mempunyai pekerjaan tetap dan difahamkan sedang dalam proses perceraian.

“Alhamdulillah hari ni kita bersama dengan JKM, kita telah cuba untuk memberikan bantuan untuk anak mereka sebab mungkin difahamkan mereka juga dalam proses penceraian dan mempunyai dua orang anak.
“Dan insya-Allah kita akan bantu untuk bantuan kanak-kanak memandangkan mangsa pun tidak mempunyai pekerjaan tetap dan sekiranya sekiranya ada kacau ganggu daripada pihak suami, kita akan mendapatkan arahan perlindungan daripada mahkamah.

“Insya-Allah selepas ini kita akan pertimbangkan bantuan lain, kita settlekan tahap pertama dulu,” katanya ketika ditemui ketika melawat dan menyampaikan bantuan Kerajaan Negeri kepada mangsa di Indera Mahkota.
Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan mangsa keganasan rumah tangga supaya tidak berasa malu atau takut untuk tampil mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa dan agensi berkaitan.
“Keganasan rumah tangga ini sebenarnya perkara yang sudah lama berlaku, tetapi kita minta sesiapa sahaja yang mengalami masalah ini tampil ke depan, jangan malu. Insya-Allah ada pihak yang akan membantu,” katanya. -PAHANGMEDIA

