Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Seramai 70 usahawan negeri ini menerima sijil selepas menamatkan Program Pembangunan Usahawan Negeri Pahang anjuran Pahang Skills Development Centre (PSDC) bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang percukaian, perakaunan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, program berkenaan memberi manfaat kepada peserta menerusi pendedahan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing produk masing-masing di pasaran.
Katanya, program itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek pengurusan perniagaan, malah turut memperkenalkan AI Booster bagi membantu usahawan menyesuaikan operasi perniagaan dengan perkembangan teknologi semasa.
“Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan menghadiri majlis penyampaian sijil kepada para usahawan yang dilatih oleh pihak PSDC.

“Ucapan terima kasih kepada pihak PSDC kerana dapat menganjurkan program ini yang memberi manfaat kepada 70 orang usahawan dalam kluster percukaian, perakaunan dan terbaharunya AI Booster.
“Ini dapat memberi manfaat kepada usahawan supaya mereka dapat mengaplikasikan ilmu daripada kursus yang diberikan tenaga pengajar PSDC untuk melengkapkan pengetahuan dan menaikkan taraf produk mereka di pasaran,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Program Pembangunan Usahawan Negeri Pahang di Prime 1, PSDC, di sini.
Majlis turut dihadiri, Pemangku Pengarah Eksekutif PSDC, Encik Nasrul Rahman Abdullah.
Menurut YB Dato’ Amizar, program berkenaan akan diteruskan secara berperingkat pada masa akan datang dengan penambahan pelbagai inisiatif baharu pada 2027, termasuk memberi penekanan kepada usaha memperluas pasaran produk usahawan ke peringkat global.
Tambahnya, Kerajaan Negeri tidak menetapkan sasaran khusus jumlah usahawan yang perlu menguasai teknologi AI, sebaliknya mahu memperluas penggunaannya dalam kalangan usahawan supaya mereka dapat memanfaatkan teknologi terkini bagi membantu perkembangan perniagaan.

“Bila nak jadi usahawan, mesti mempunyai proses-proses tertentu termasuklah program AI ini supaya pasaran mereka boleh diadaptasikan dengan sistem ataupun teknologi terkini untuk membantu produk mereka,” katanya lagi.
Selain itu katanya, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan kepada PSDC bagi melaksanakan latihan kemahiran insaniah dan kemahiran teknikal untuk membantu meningkatkan keupayaan usahawan di negeri ini.
“Kita yakin dan percaya apabila kita memberikan sesuatu perkara dan nak melahirkan sesuatu perkara, kita mahukan satu perkara yang lebih baik selepas ini.
“Kita nak usahawan Negeri Pahang memenuhi pasaran semasa, bukan sahaja dalam negeri atau domestik, malah di luar negeri dan kita juga nak menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, usaha memperluas pasaran usahawan tempatan dilihat mampu memberikan impak kepada ekonomi negeri menerusi peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan langsung asing (FDI) serta pendapatan Kerajaan Negeri. -PAHANGMEDIA

