Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Belanjawan Pahang 2027 disifatkan menepati prinsip dan tuntutan Islam apabila mengutamakan perbelanjaan berhemah tanpa bersikap boros, selain memastikan kerajaan tidak terlalu berjimat sehingga mengabaikan keperluan rakyat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB Dato’ Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, pendekatan yang diamalkan Kerajaan Negeri itu selari dengan Surah al-Furqan, ayat 67 yang menekankan keseimbangan dalam perbelanjaan, iaitu tidak berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu kedekut.
Beliau turut memuji pendekatan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang disifatkan mengamalkan prinsip kepimpinan Islam melalui tindakan dan dasar yang dilaksanakan, bukan sekadar kata-kata.
“Dalam penggulungan YAB Dato’ Sri Diraja, beliau ada sebut, kita berbelanja tidak boros, dan kita tidak sampai kedekut tak berbelanja. Dan ini amat tepat dengan Al-Quran dalam surah Al-Furqan ayat 67, sebagaimana firman Allah SWT, bila dia orang belanja, tak melampaui batas dan mereka tidak menahan jadi bakhil sampai tidak belanja langsung.
“Dan prinsip yang saya lihat YAB Dato’ Sri Diraja ini banyak perkara yang dia lakukan bertepatan dengan Al-Quran. Selain daripada itu, bajet yang dibuat ada simpan RM5 juta walhal pendapatan RM1.507 bilion. Tidak belanja habis semua.
“Dalam Al-Quran ada sebut, tujuh tahun dia belanja untuk tujuh tahun tujuh 7 tahun dia simpan untuk tujuh tahun sebab akan berlakunya kemarau. Jadi, inilah Islam yang ditegakkan oleh YAB Dato’ Sri Diraja,” katanya.
Beliau berkata prinsip kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang yang melaksanakan sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum menghebahkan juga mencerminkan ajaran berteraskan Islam.
“Tak banyak cakap. Tidak ada serban jubah. Tetapi perbuatan YAB Dato’ Sri Diraja mencerminkan dia seorang pemimpin Islam.
Katanya, Belanjawan 2027 turut memperlihatkan pengurusan kewangan yang berhemah apabila kerajaan memperuntukkan simpanan RM5 juta daripada anggaran hasil negeri berjumlah RM1.507 bilion, sekali gus tidak membelanjakan keseluruhan pendapatan.
“Ini sebagaimana dilakukan Nabi Yusuf AS dalam al-Quran, apabila baginda merancang penyimpanan hasil selama tujuh tahun bagi menghadapi tempoh kemarau yang bakal berlaku.
“Begitu juga prinsip yang diamalkan oleh Menteri Besar. Tidak banyak bercakap, tetapi perbuatannya mencerminkan seorang pemimpin yang berteraskan Islam,” katanya.
Beliau turut menyifatkan amalan Menteri Besar menyediakan makanan setiap Jumaat serta pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat sebagai antara contoh pelaksanaan tuntutan Islam dalam kehidupan bermasyarakat.
Menurutnya, kepimpinan yang mengutamakan kebajikan rakyat, bersikap lembut tetapi tegas serta berpegang kepada prinsip Islam merupakan pendekatan yang wajar dihargai.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan dan persepsi negatif terhadap kepimpinan Menteri Besar serta menggesa pihak yang melemparkan tuduhan supaya kembali kepada ajaran Islam.
“Kalau boleh, bertaubatlah, kembali kepada Islam dan minta maaf dengan Menteri Besar. Mari kita duduk sekapal,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Menteri Besar sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta kebijaksanaan untuk terus mentadbir dan membangunkan Pahang ke arah kemajuan yang lebih baik. -PAHANGMEDIA

