Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 NOVEMBER 2026 : Belanjawan Negeri Pahang 2027 memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
Setiausaha Politik YAB. Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Mohd Farid Mohd Nor berkata, pendekatan yang merangkumi pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan masa hadapan negeri disifatkan sebagai antara strategi penting untuk memastikan Pahang terus berkembang.
“Dan kita lihat Belanjawan pada tahun yang akan datang ini mengulangi belanjawan-belanjawan yang lepas di mana menjadikan Pahang ini sebuah negeri yang mesra rakyat, yang berkebajikan, dan yang melihat bahawa pelaburan dalam masa depan dan juga pendidikan merupakan pelaburan yang sangat strategik bagi masa depan Negeri Pahang.
“Secara rangkumannya, kalau boleh kita lihat semua golongan menerima manfaat daripada belanjawan yang kita sediakan ini di mana bayi yang baru lahir sehingga mereka yang meninggal dunia mendapat sentuhan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Kalau saya lihat di media sosial sebagai contoh, terdapat beberapa inisiatif baru yang mendapat sambutan rakyat antaranya adalah deposit bagi sewaan rumah kepada golongan muda,” katanya.
Beliau berkata, sokongan sebulat suara semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap belanjawan berkenaan membolehkan Kerajaan Negeri meneruskan agenda pembangunan dan memastikan setiap hasil negeri dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.
Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga dilihat telab bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) sekiranya Parlimen dibubarkan, namun menegaskan Belanjawan Pahang 2027 tidak wajar dikaitkan dengan persediaan menghadapi pilihan raya.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif kebajikan berkenaan merupakan kesinambungan dasar Kerajaan Negeri setiap tahun dengan peruntukan yang meningkat selaras dengan pertambahan hasil negeri.
Tambah beliau, sebarang keputusan dan pendirian UMNO serta Barisan Nasional (BN) negeri berhubung perkara politik akan diselaraskan dengan keputusan kepimpinan di peringkat nasional.
Mengulas berkenaan hala tuju pembangunan negeri, beliau berharap rakyat dapat menilai kemampuan kerajaan negeri dalam mentadbir, keberkesanan dasar, serta perancangan jangka panjang yang telah dirangka sehingga 2030.
Justeru, kesinambungan kepimpinan, perancangan dan dasar pembangunan sedia ada perlu dipertahankan supaya pelaksanaan projek serta agenda pembangunan negeri tidak terganggu akibat perubahan pentadbiran. -PAHANGMEDIA

