Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meneliti beberapa penambahbaikan kemudahan di Terminal Sentral Kuantan (TSK), termasuk penggantian eskalator dan peningkatan sistem pencahayaan bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna sentiasa terpelihara.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, tinjauan ke terminal berkenaan dilakukan bagi menilai sendiri keadaan fasiliti sedia ada serta mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan.
Menurutnya, antara kemudahan yang diberi perhatian termasuk sistem pencahayaan, tandas, bilik solat, papan tanda serta kawasan sekitar terminal bagi memastikan TSK terus memberikan perkhidmatan yang selesa kepada pengguna.

“Pada malam ini, saya mengadakan tinjauan ke TSK di sini untuk melihat sendiri keadaan TSK kita pada masa kini dan menambah segala penambahbaikan yang akan kita dapat laksanakan untuk masa akan datang untuk memberikan kemudahan kepada pengguna-pengguna TSK,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan fasiliti dan kemudahan di TSK, di sini, semalam.
Katanya, tinjauan itu turut memberi peluang kepada beliau mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengunjung dan pengguna bas berhubung tahap keselesaan serta kemudahan yang disediakan.
Mengulas mengenai tindakan susulan, beliau berkata, pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah memaklumkan mengenai keperluan menggantikan eskalator baharu selain perancangan pemasangan papan tanda dan lampu solar bagi meningkatkan kemudahan serta pencahayaan di kawasan terminal.
Tegasnya, Kerajaan Negeri mahu memastikan semua kemudahan yang disediakan berada dalam keadaan baik dan mesra pengguna, khususnya tandas serta bilik solat, supaya orang ramai dapat menggunakannya tanpa sebarang kesulitan.

“Yang penting kita perlu menekankan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna-pengguna sini supaya kita tak nak mereka tak rasa gembira. Kita nak mereka guna (kemudahan) ini dengan rasa gembira, tak nak rasa susah hati,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, aspek pencahayaan terutama di laluan masuk ke TSK perlu diberi perhatian serius demi keselamatan pengguna, khususnya pada waktu malam.
Menurutnya, keadaan laluan yang gelap boleh menyebabkan pengguna jalan raya, terutama mereka yang datang dari luar Kuantan, terlepas simpang masuk ke terminal berkenaan.
“Selaku dari pihak Kerajaan Negeri, keselesaan dan keselamatan pengguna itu itu adalah kita punya keutamaan yang perlu kita beri perhatian terutama sekali bila pengguna-pengguna di waktu malam. Sebab itu dari segi pencahayaan ini penting. Terutama sekali tadi, jalan masuk.
“Adakalanya saya pun dapat aduan orang terlepas simpang sebab gelap terutama sekali orang luar yang tak biasa di bandar Kuantan ini, kadang terlepas simpang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) memastikan semua lampu jalan di bawah seliaan jabatan berkenaan berfungsi dengan baik, termasuk menggantikan mentol yang tidak menyala serta menambah baik pencahayaan di laluan masuk ke terminal.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang, YH Dato’ Khairun Nissa Aris serta ketua jabatan dan pihak pengurusan TSK. – PAHANGMEDIA

