Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah mengenal pasti mekanisme penyelesaian bagi menangani isu penduduk Orang Asli di Bera, termasuk penyaluran bantuan kepada mereka yang terkesan serta penduduk yang tidak terlibat dalam operasi penguatkuasaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, mekanisme bantuan telah disediakan mengikut kategori penduduk terlibat, termasuk mereka yang terjejas secara langsung akibat tindakan penguatkuasaan.
“Isu di Bera ini sebenarnya sudah dalam tindakan dan kita telah pun menyediakan jalan penyelesaian, sama ada dari sudut membantu menjana pendapatan Orang Asli yang tidak terlibat dengan penguatkuasaan, mahupun penduduk kampung Orang Asli yang terkesan.
“Begitu juga bantuan kepada mereka yang terlibat dengan penguatkuasaan, mekanismenya telah disediakan dan ditetapkan. Insya-Allah, dalam masa terdekat bantuan tersebut akan diagihkan,” katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun, pelaksanaan bantuan memerlukan sedikit masa berikutan terdapat tujuh kampung Orang Asli yang terlibat dan sebahagiannya belum berdaftar secara rasmi.
Justeru, proses pendaftaran perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum bantuan dapat disalurkan kepada penduduk berkenaan.
“Perkara ini mengambil masa kerana kita perlu membuat pengukuran dan menyelesaikan proses pendaftaran bagi tujuh kampung Orang Asli yang terlibat sebelum bantuan dapat disalurkan,” katanya.
Mengenai isu tanah adat, beliau turut menjelaskan bahawa perkara itu perlu diteliti berdasarkan peruntukan dan mekanisme berkaitan yang ditetapkan kerajaan negeri.
“Dari segi isu tanah ada, kita tak ada enakmen namanya tanah adat. Setelah kita wartakan itulah tanah adat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chun Kuang pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

