Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Lebih 3,600 usahawan mikro dan kecil di Pahang menerima manfaat pelbagai inisiatif bantuan dan pembiayaan kerajaan termasuk geran serta skim pembiayaan agensi berkaitan sepanjang 2025 dan 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM800,000 pada 2025 menerusi Program Geran Usahawan Makmur Pahang yang memberi manfaat kepada 80 usahawan.
Katanya, bagi tahun ini, Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan kepada RM1.5 juta bagi program sama dengan RM596,000 sudah disalurkan kepada 132 penerima sehingga Oktober lalu.
“Baki peruntukan sebanyak RM904,000.00 dijangka dapat dimanfaatkan oleh kira-kira 100 orang usahawan lagi menjelang akhir tahun 2026, tertakluk kepada proses kelulusan dan penyaluran geran yang akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB. Dato’ Haji Abdul Aziz Haji Mat Kiram dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, Program Geran Usahawan Makmur Pahang menyediakan bantuan secara one-off bagi membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran, membeli peralatan, menaik taraf premis serta memperkukuh strategi pemasaran termasuk pendigitalan perniagaan.
Selain geran, Kerajaan Negeri turut memperluas akses pembiayaan menerusi kerjasama dengan agensi pusat termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
“Majlis Amanah Rakyat ataupun MARA sendiri menyediakan pembiayaan sebanyak 10 skim pembiayaan yang telah pun disalurkan dan di antara negeri Pahang penerima sebanyak 363 orang usahawan,” ujarnya.
Tambahnya, Tekun Nasional pula menyediakan sembilan skim utama yang memberi manfaat kepada kira-kira 2,956 usahawan, manakala Amanah Ikhtiar Malaysia telah membantu seramai 28,445 usahawan di negeri ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan ADUN Luit, YB Dato’ Mohd Sofian Abd Jalil, berhubung keperluan dasar perlindungan bagi membantu peniaga kecil yang berdepan persaingan pasaran terbuka dan perniagaan dalam talian, YB. Dato’ Amizar berkata, Kerajaan Negeri sentiasa meneliti pendekatan bagi memastikan usahawan tempatan mampu terus bersaing.
Katanya, Kerajaan Negeri sebaliknya memberi penekanan kepada usaha meningkatkan keupayaan usahawan menyesuaikan perniagaan dengan perkembangan teknologi termasuk penggunaan sistem jualan digital (POS) dan kecerdasan buatan (AI). -PAHANGMEDIA

