Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Pahang bakal memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan teknologi tinggi menerusi pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) bernilai AS$100 juta (lebih RM400 juta) di Pahang Technology Park, Gambang yang dijangka mewujudkan sehingga 300 peluang pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, projek berimpak tinggi itu dilaksanakan menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan kerjasama rakan strategik antarabangsa, BioPhoenix dan Dynex AI.
Menurutnya, pembangunan menerusi PKNP BioPhoenix Data Center Sdn. Bhd. itu melibatkan kawasan seluas 3.24 hektar di atas tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSK), dengan kapasiti beban IT awal sebanyak 10 megawatt bersama A Paradigm AI Pte. Ltd.
“Projek berimpak tinggi ini bernilai AS$100 juta atau lebih kurang RM400 juta melibatkan tiga fasa pembangunan dan telah memulakan kerja pembinaan fasa pertama pada November 2026.
“Projek ini sekali gus membuka sehingga 300 peluang pekerjaan melibatkan fasa pembinaan dan pengoperasian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB Dato’ Mohd Sharim Haji Md Zain pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kerajaan Negeri turut meneroka potensi menjadikan Pahang sebagai destinasi baharu industri Global Business Services (GBS) menerusi kerjasama strategik dengan syarikat swasta, BEYOND4.
Katanya, Malaysia kini mempunyai 749 syarikat GBS yang menjana lebih 36,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi sejak 2021, manakala nilai pelaburan sektor berkenaan meningkat kepada RM9.87 bilion pada 2024 dengan pendapatan terkumpul RM28.14 bilion pada tahun lalu.
“Kerajaan Negeri mengambil peluang untuk meletakkan Pahang sebagai destinasi baharu industri GBS, khususnya dalam bidang teknologi maklumat, khidmat pelanggan, kewangan, perakaunan, sumber manusia, analitik data dan operasi digital.
“Setakat ini, empat syarikat GBS telah menunjukkan minat untuk meneroka peluang pembangunan operasi di Pahang, namun masih di peringkat permohonan, penelitian dan penilaian awal,” katanya.
Bagi memastikan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dapat dimanfaatkan anak tempatan, beliau berkata Kerajaan Negeri merangka empat strategi utama termasuk memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan keperluan industri.
Strategi lain merangkumi pelaksanaan pensijilan khusus AI, digital dan tenaga hijau, pembangunan bakat keusahawanan teknologi serta pemindahan teknologi dan persediaan modal insan dalam sektor rel dan aeroangkasa.
Menurutnya, program pensijilan AI Practitioner dan Juruteknik Solar Photovoltaic (PV) turut dilaksanakan menerusi peruntukan RM1 juta dalam Belanjawan Pahang 2026.
Selain itu, seramai 200 peserta telah dihubungkan dengan syarikat pemula dan korporat menerusi platform Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA), manakala elemen pemindahan teknologi turut diwajibkan dalam usaha sama pelaburan asing. -PAHANGMEDIA

