Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 23 NOVEMBER 2026 : Penganjuran Cameron Ultra (Cultra) 2026 di Cameron Highlands berjaya menjana pulangan ekonomi lebih RM15 juta, sekali gus memperkukuh potensi acara larian denai itu sebagai produk pelancongan sukan bertaraf antarabangsa di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, jumlah berkenaan meningkat berbanding RM12 juta pada 2023 dan RM13 juta pada 2025.
Menurutnya, penganjuran Cultra pada Julai lalu menarik penyertaan seramai 3,500 peserta termasuk 466 peserta antarabangsa dari 33 negara, dengan semua slot penyertaan habis ditempah dalam tempoh kurang enam jam.
“Pada tahun 2023, penganjuran Cultra dianggarkan menjana pulangan ekonomi sebanyak RM12 juta dan meningkat kepada RM13 juta pada 2025.
“Manakala bagi penganjuran 2026, pulangan ekonomi ini meningkat kepada lebih RM15 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB Tuan Ho Chi Yang pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sambutan terhadap acara berkenaan amat menggalakkan apabila senarai menunggu penyertaan turut melebihi 10,000 orang.
Katanya, anggaran pulangan ekonomi itu dibuat berdasarkan perbelanjaan pelancong sebanyak RM599 seorang bagi tempoh tiga hari menerusi kaji selidik dalam talian melibatkan peserta dan pengiring.
Selain itu, penganjuran Cultra turut menyumbang kepada hasil negeri melalui bayaran permit memasuki Hutan Simpan Kekal yang mencatatkan kutipan lebih RM27,000 pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa langkah penambahbaikan turut dikenal pasti bagi memperkukuh penganjuran Cultra termasuk pemantauan cuaca bersama Jabatan Meteorologi Malaysia, pelepasan peserta secara berperingkat, penggunaan teknologi penjejakan serta penyediaan laluan alternatif.
“Penambahbaikan kemudahan keselamatan dan perubatan di stesen bantuan serta kerjasama dengan agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia juga perlu diperkukuhkan.
“Usaha ini penting bagi memastikan Cultra terus berkembang sebagai acara pelancongan sukan bertaraf antarabangsa yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

