Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : FELDA memperketat kawalan kualiti Buah Tandan Segar (BTS) di peringkat ladang bagi menangani isu penolakan Buah Tandan Muda (BTM) oleh kilang pemprosesan sawit yang sering menimbulkan pertikaian dalam kalangan peneroka, kontraktor pengangkut dan pengurusan kilang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam berkata, langkah itu penting bagi memastikan hanya buah sawit yang mencapai tahap kematangan ditetapkan dihantar ke kilang, sekali gus mengelakkan kerugian kepada peneroka serta mengekalkan kualiti pengeluaran minyak sawit.
Menurut beliau, Jawatankuasa Pemuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) berperanan sebagai platform pemantauan dan perundingan melibatkan pengurusan FELDA, pihak kilang FGV Palm Industries serta wakil peneroka bagi memastikan proses penggredan buah dilaksanakan secara telus mengikut piawaian industri.
“Melalui jawatankuasa ini, wakil peneroka boleh menyemak proses penggredan bagi memastikan tiada unsur manipulasi serta keputusan penolakan buah dibuat berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” menurut jawapan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata JPPK turut memainkan peranan dalam memastikan kualiti buah yang dihantar ke kilang sentiasa terpelihara bagi mengelakkan kemasukan buah muda yang boleh menjejaskan Kadar Perahan Minyak (OER).
Antara langkah kawalan yang dilaksanakan termasuk pemeriksaan dan penggredan BTS di ladang, semburan cat putih pada tandan belum matang bagi memudahkan pengecaman serta pengenaan denda terhadap kontraktor dan pekerja yang gagal mematuhi piawaian penuaian.
Dalam pada itu, FELDA menjelaskan bahawa buah tandan muda yang ditolak tidak dipulangkan kepada peneroka atas pertimbangan pengurusan sistem penerimaan hasil, integriti serta kos operasi kilang.
“Pemulangan semula buah muda dikhuatiri membuka ruang kepada penyalahgunaan apabila buah berkenaan dicampurkan dengan penghantaran lain untuk dihantar semula ke kilang yang sama atau kilang berbeza,” menurut jawapan itu.
Sebaliknya, buah tandan muda yang ditahan akan dihancurkan untuk dijadikan baja kompos sebelum dikembalikan ke ladang FELDA sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan sisa secara lestari.
Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjelaskan bahawa dasar pemulangan buah muda merupakan bidang kuasa FELDA sebagai sebahagian daripada polisi perniagaannya.
Bagaimanapun, berdasarkan Garis Panduan Amalan Perniagaan Buah Kelapa Sawit (Edisi Kedua), pemegang lesen peniaga dan kilang buah kelapa sawit dilarang membeli atau menerima buah muda.
Langkah kawalan dan pemantauan berkenaan bertujuan memastikan proses penuaian serta penghantaran hasil sawit mematuhi piawaian ditetapkan, sekali gus melindungi kepentingan peneroka dan mengekalkan mutu pengeluaran industri sawit. -PAHANGMEDIA

