Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan kenaikan elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) sebanyak 100 peratus daripada RM250 kepada RM500 bermula tahun hadapan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM186,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan kenaikan elaun berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap tanggungjawab dan komitmen pemimpin di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri menghargai peranan Pengerusi JKKKB dalam menyelaras keperluan masyarakat serta memastikan kebajikan penduduk di kawasan masing-masing terus diberikan perhatian.
“Selain itu, 186 ribu ringgit diperuntukkan bagi meningkatkan elaun Pengerusi JKKKB secara bulanan daripada 250 ringgit kepada 500 ringgit sebagai pengiktirafan terhadap tanggungjawab dan komitmen mereka di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Kenaikan sebanyak RM250 sebulan itu merupakan antara inisiatif di bawah Teras Ketiga Belanjawan Negeri Pahang 2027 yang memberi penekanan kepada usaha memperkukuh tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Langkah berkenaan turut mencerminkan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan kepimpinan setempat yang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dengan pihak pentadbiran dalam menyalurkan maklumat, menyelaras keperluan serta menangani isu di peringkat kampung. -PAHANGMEDIA

