Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan Insentif Apresiasi Kepimpinan Setempat Pahang 1st dengan pemberian sebanyak RM10,000 secara sekali beri (one-off) kepada setiap kumpulan kepimpinan setempat sebagai penghargaan terhadap khidmat bakti dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara pengumuman di bawah Teras Ketiga Belanjawan Negeri Pahang 2027 yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM49.87 juta bagi memperkukuh tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Menurut beliau, pemberian insentif RM10,000 itu melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) serta Gabungan Persatuan Wanita (GPW) FELDA.
“Sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, khidmat bakti dan sumbangan pemimpin di peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri memperkenalkan Insentif Apresiasi Kepimpinan Setempat Pahang 1st dengan pemberian sebanyak RM10,000 secara one-off kepada setiap kumpulan kepimpinan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM1.25 juta bagi pemberian insentif khas secara sekali beri kepada pemimpin dan petugas pentadbiran di peringkat kampung.
Katanya, insentif sebanyak RM500 akan diberikan kepada setiap Pengerusi JPKK, JPKKOA, JKKKB, Tok Batin, Timbalan Pengerusi JKKR dan Pengerusi GPW FELDA Negeri Pahang.
Selain itu, setiap Setiausaha JKKKB, JKKR, JPKK dan JPKKOA pula akan menerima insentif sebanyak RM200.
“Kerajaan Negeri menyediakan insentif khas secara one-off sebanyak RM500 kepada setiap Pengerusi JPKK, JPKKOA, JKKKB, Tok Batin, Timbalan Pengerusi JKKR dan Pengerusi GPW FELDA Negeri Pahang.
“Manakala RM200 diberikan kepada setiap Setiausaha JKKKB, JKKR, JPKK dan JPKKOA, dengan peruntukan berjumlah RM1.25 juta,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan negeri yang berkesan bukan sahaja bergantung kepada dasar yang baik dan kemampuan kewangan, sebaliknya turut memerlukan sistem pentadbiran yang cekap, telus serta berintegriti.
Justeru, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pemantapan tadbir urus dan kecekapan penyampaian perkhidmatan selaras dengan hala tuju Teras Ketiga Belanjawan Negeri Pahang 2027. -PAHANGMEDIA

