Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Seluruh penjawat awam Negeri Pahang bakal menerima Bantuan Khas Perayaan sebanyak RM1,500 bagi membantu meringankan beban perbelanjaan dan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi pelaksanaan bantuan berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Selain itu, bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri, Kerajaan Negeri turut menyediakan Bantuan Khas Perayaan sebanyak RM1,500 dengan peruntukan sebanyak RM12 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, penjawat awam merupakan antara tonggak penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif pembangunan negeri.
Katanya, Kerajaan Negeri amat menghargai segala dedikasi, pengorbanan dan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh jentera pentadbiran dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap pemberian bantuan berkenaan dapat menjadi suntikan semangat kepada penjawat awam untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan, mengekalkan disiplin serta memelihara integriti dalam melaksanakan amanah.
“Semoga penghargaan ini menjadi suntikan semangat kepada seluruh penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, memelihara integriti dan melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Pahang Darul Makmur,” katanya. -PAHANGMEDIA

