Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada seluruh penjawat awam negeri ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM58 juta yang akan dibayar secara dua fasa pada Januari dan Jun 2027.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian bantuan berkenaan merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap dedikasi, pengorbanan dan komitmen penjawat awam dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta pelaksanaan agenda pembangunan negeri.
“Sebagai tanda penghargaan, saya dengan sukacitanya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada seluruh penjawat awam Negeri Pahang, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM58 juta yang akan dibayar dalam dua fasa, iaitu pada bulan Januari dan Jun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kekuatan sesebuah kerajaan bukan hanya terletak pada perancangan dan jumlah peruntukan yang diumumkan, sebaliknya turut bergantung kepada keupayaan jentera pentadbiran dalam menterjemahkan setiap dasar serta inisiatif kepada pelaksanaan yang berkesan.
Sehubungan itu, beliau mahu seluruh penjawat awam Negeri Pahang terus meningkatkan kecekapan, mengamalkan disiplin dan memelihara integriti dalam melaksanakan tanggungjawab, selain sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
“Segala dedikasi, pengorbanan dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan amat saya hargai.
“Semoga penghargaan ini menjadi suntikan semangat kepada seluruh penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, memelihara integriti dan melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat Pahang Darul Makmur,” katanya. -PAHANGMEDIA

