Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.507 bilion pada tahun 2027 dengan anggaran perbelanjaan mengurus RM1.502 bilion, sekali gus mengunjurkan lebihan atau surplus sebanyak RM5 juta.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM454.4 juta bagi perbelanjaan pembangunan untuk membiayai pelbagai projek dan program yang dirancang demi kepentingan rakyat.
Menurut beliau, Belanjawan Negeri Pahang 2027 yang bertemakan ‘Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan’ dirangka dengan mengambil kira kedudukan kewangan negeri, keperluan pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, cabaran ekonomi semasa termasuk peningkatan kos sara hidup, perkembangan pesat teknologi dan tuntutan pembangunan mampan memerlukan Kerajaan Negeri merancang dengan lebih teliti serta berpandangan jauh.
“Justeru, Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2027 disusun dengan berpandukan tiga pertimbangan utama, iaitu kemampuan kewangan, keperluan pembangunan dan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata enam teras utama digariskan sebagai landasan pelaksanaan Belanjawan 2027 bagi memastikan setiap peruntukan dapat dimanfaatkan secara berkesan.
Teras berkenaan merangkumi usaha memperkasa pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan modal insan, selain memacu pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan keusahawanan.
Katanya, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pemantapan tadbir urus, integriti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas rakyat.
Dua lagi teras utama ialah memelihara alam sekitar dan mengurus sumber negeri secara lestari serta memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif yang dirancang.
“Inilah pendekatan yang Kerajaan Negeri akan bawa dalam Belanjawan 2027. Setiap perancangan mesti mempunyai tujuan dan setiap peruntukan mesti membawa hasil,” katanya. -PAHANGMEDIA

