Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Seramai 624 Ranger Komuniti ditempatkan di 66 pos kawalan di seluruh Pahang bagi memperkukuh usaha perlindungan biodiversiti negeri, khususnya dalam membanteras aktiviti pencerobohan, pemburuan haram serta menangani konflik antara manusia dan hidupan liar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, penempatan anggota berkenaan menjadi antara langkah penting dalam mempertingkatkan rondaan, pemantauan dan pengesanan awal ancaman terhadap hidupan liar.
Menurut beliau, tumpuan turut diberikan kepada kawasan Ulu Tembeling dan Kuala Tahan di Jerantut yang dikenal pasti berisiko berlaku konflik antara manusia dan hidupan liar berikutan kedudukannya berhampiran habitat utama spesies berkenaan.
Katanya, kedua-dua kawasan itu terletak di antara Taman Negara Pahang, Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah (ASARTR) dan Hutan Simpan Tekai yang menjadi laluan pergerakan serta kawasan keliaran hidupan liar.
“Kedudukan ini menyebabkan kawasan berkenaan turut menjadi laluan lintasan dan kawasan keliaran hidupan liar, dengan risiko pertembungan apabila hidupan liar menghampiri penempatan serta kawasan pertanian.
“Keadaan ini menjadikan pengurusan konflik lebih mencabar dan memerlukan usaha berterusan yang merangkumi pengurusan spesies, habitat serta landskap sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) melaksanakan pemantauan berterusan di kawasan berisiko berdasarkan rekod aduan penduduk, penemuan kesan tapak kaki serta lokasi serangan terhadap ternakan.
Menurutnya, langkah berkenaan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti lokasi konflik dan laluan pergerakan hidupan liar bagi menentukan kawasan yang memerlukan rondaan serta tindakan kawalan.
“Bagi harimau, perangkap kamera dipasang di lokasi strategik untuk mengesahkan kehadirannya.
“Tindakan kawalan juga dilaksanakan mengikut tahap ancaman dan setakat ini, empat ekor gajah liar berjaya ditangkap di sekitar kawasan terlibat,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengurangkan risiko konflik turut dilaksanakan di peringkat komuniti bagi meningkatkan keselamatan penduduk, khususnya mereka yang tinggal berhampiran kawasan hutan dan habitat hidupan liar.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan PERHILITAN Negeri Pahang mempunyai 126 perjawatan dengan 116 daripadanya telah diisi, manakala pengurusan kawasan Ulu Tembeling dan Kuala Tahan diletakkan di bawah Pejabat PERHILITAN Daerah Jerantut yang mempunyai enam kakitangan.
Katanya, pelaksanaan langkah perlindungan dan pengurusan konflik berkenaan turut mendapat kerjasama Perbadanan Taman Negeri Pahang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Panthera serta komuniti setempat.
Kerjasama itu penting bagi memastikan usaha pemantauan, pencegahan pencerobohan dan tindakan kawalan hidupan liar dapat dilaksanakan secara tersusun serta berterusan demi keselamatan penduduk dan kelestarian biodiversiti Pahang. -PAHANGMEDIA

