Oleh: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2026 : Sebanyak 500 tempat ditawarkan bagi mengikuti kursus kecerdasan buatan (AI) secara percuma menerusi inisiatif Jelajah AI MyMahir yang dijangka dilaksanakan pada Januari 2027 di PahangSkills.
Inisiatif hasil kerjasama Kerajaan Negeri Pahang dengan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) itu turut menawarkan sijil bernilai RM5,000 kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, kursus berkenaan terbuka kepada semua yang berminat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang AI tanpa mengira latar belakang atau sektor pekerjaan.

“Saya juga telah berbincang dengan pihak TalentCorp dan kita akan menjalankan satu inisiatif iaitu Jelajah AI MyMahir, iaitu pembelajaran AI secara percuma dan saya mencadangkan supaya ia dijalankan di PahangSkills.
“Penyertaan ini terbuka kepada seluruh rakyat yang ingin menyertai kursus AI ini secara percuma.
“Satu sesi adalah untuk 500 penyertaan dan satu sijil yang mereka peroleh selepas kursus AI itu bernilai RM5,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Program TalentCorp Industry Connect Edisi Pantai Timur 2026 di AC Hotel Kuantan, di sini, hari ini.
Menurut beliau, tarikh pelaksanaan serta kaedah pendaftaran kursus berkenaan akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi laman sesawang dan media sosial rasmi TalentCorp.
Katanya, sambutan terhadap sesi pertama yang dijangka berlangsung pada Januari depan akan menjadi antara pertimbangan bagi membuka penyertaan untuk sesi kedua dan seterusnya.
“Saya menyeru seluruh pemain industri dan bukan sahaja pemain industri, memandangkan kursus ini terbuka kepada semua yang berminat.
“Jika penyertaan pada Januari 2027 nanti memberangsangkan, kita mungkin akan buka juga untuk sesi kedua dan seterusnya,” katanya.
Inisiatif berkenaan selari dengan usaha memperkukuh penguasaan kemahiran digital dan AI dalam kalangan masyarakat, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Sementara itu, Program TalentCorp Industry Connect Edisi Pantai Timur 2026 yang bertemakan MyBakat Wilayah Pantai Timur: Membina Kesiapsiagaan Bakat untuk Tenaga Kerja Masa Hadapan menghimpunkan kira-kira 190 peserta terdiri daripada wakil kerajaan, industri serta institusi pendidikan dan latihan dari Pahang, Terengganu dan Kelantan. -PAHANGMEDIA

