KUANTAN, 18 NOVEMBER 2026 : Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan supaya jangan sampai berlaku keadaan ‘kaduk naik junjung’ apabila kebebasan yang diberikan disalahgunakan sehingga melupakan batas, adab dan tanggungjawab menghormati institusi negara.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang menegaskan demikian susulan tindakan Tony Pua yang didakwa mendedahkan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, tindakan berkenaan dipandang serius kerana dilihat sebagai perbuatan tidak menghormati institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selain menimbulkan persoalan mengenai keselamatan dan kerahsiaan dokumen kerajaan.
“Pertama, tindakan ini dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak menghormati institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda sebagaimana termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa, apatah lagi dijadikan bahan polemik politik.
“Jangan sampai berlaku keadaan ‘kaduk naik junjung’, apabila kebebasan dan ruang yang diberikan disalahgunakan sehingga terlupa akan batas, adab dan tanggungjawab menghormati institusi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, pendedahan dokumen berkenaan turut menimbulkan persoalan besar mengenai aspek keselamatan, kerahsiaan dan tatakelola dokumen kerajaan, khususnya melibatkan prosiding rasmi Lembaga Pengampunan.
“Bagaimana dokumen yang berkaitan dengan prosiding rasmi Lembaga Pengampunan boleh didedahkan kepada umum? Siapakah yang bertanggungjawab terhadap dokumen tersebut dan apakah prosedur penyahklasifikasiannya?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap perkara berkenaan termasuk meneliti kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R serta aspek keselamatan dan kerahsiaan dokumen kerajaan.
Tegasnya, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa pilih kasih.
“Perbezaan politik bukan lesen untuk memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu.
“Menghormati Yang di-Pertuan Agong dan menjaga kerahsiaan dokumen kerajaan adalah soal prinsip, kedaulatan undang-undang serta tanggungjawab terhadap negara,” katanya.– PAHANG MEDIA

