Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
PEKAN, 14 NOVEMBER 2026 : Seramai 10 pasangan pengantin diraikan menerusi Program Anggun Suri Majlis Perkahwinan Beramai-ramai Peringkat Parlimen Pekan yang berlangsung di Dewan Utama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP), di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, program penganjuran kali ke 14 bagi tahun ini itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan beban pasangan muda, khususnya golongan kurang berkemampuan yang berdepan peningkatan kos perkahwinan.

Katanya, program itu juga melambangkan bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata, tetapi juga pembangunan sosial dan kekeluargaan yang menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat.
“Menerusi program ini juga, semua kos penganjuran seperti dewan dan pelamin, makan dan beradab, jamuan untuk teramu jemputan setiap pasangan, persembahan dan buah tangan untuk tetamu, semuanya ditanggung oleh Kerajaan Negeri. Manakala pengantin hanya menyediakan duit mas kahwin sahaja.
“Dan kita mengambil kira sekiranya ada sedikit-sedikit tabungan daripada pasangan, jadi tabungan tersebut boleh digunakan oleh pengantin untuk meneruskan kehidupan rumah tangga selepas daripada ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan selalu wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis turut dihadiri Pegawai Daerah Pekan, YH. Tuan Azora @ Ahmad Shamsudin; Pengerusi Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Pekan (PERISDANITA), YH Dato’ Hajah Zalmah binti Abdul Rahman; serta barisan pimpinan setempat.
Tambahnya, program Anggun Suri yang memasuki tahun ketiga penganjurannya di Pahang menyaksikan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi meraikan 150 pasangan menerusi pelaksanaan di 14 kawasan Parlimen serta satu edisi khas membabitkan anggota tentera.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan insentif perkahwinan menerusi Inisiatif Makmur Pahang berupa sumbangan khas RM300 kepada setiap pasangan yang berkahwin kali pertama.

“Lebih daripada itu, ia adalah simbol sokongan dan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap kesejahteraan rakyat selaras dengan semangat Aspirasi Pahang 1st,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan pasangan pengantin supaya menjadikan rumah tangga sebagai tempat mencari ketenangan, selain menghadapi setiap cabaran dengan sikap bertolak ansur, komunikasi yang baik serta berlandaskan nilai agama dan adab yang tinggi.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu, fitnah dan tohmahan di media sosial yang boleh mencetuskan perpecahan serta menjejaskan keharmonian keluarga dan masyarakat.
“Marilah kita sama-sama berpegang kepada kebenaran, beradab dalam tutur kata dan berhikmah dalam penilaian. Kekuatan negeri itu bukan pada suara yang lantang menabur fitnah, tetapi pada rakyat yang bersatu, berilmu dan berakhlak tinggi,” katanya.-PAHANGMEDIA

