Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 13 NOVEMBER 2026 : Bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri Pahang terus membawa sinar baharu kepada rakyat, khususnya masyarakat Orang Asli dan golongan B40 dalam meningkatkan taraf kehidupan, menyediakan kediaman lebih selesa serta membantu kelangsungan sumber pendapatan.
Bagi Encik Ismail Biyah, 48, dari Kampung Ceros, Pos Telanok, penerimaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) merupakan rezeki yang amat bermakna selepas sekian lama menetap di rumah papan yang uzur dan mengalami kerosakan.
“Sepanjang hidup, saya belum pernah mendapat rumah seperti ini. Kali ini mungkin sudah rezeki saya. Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang kerana memberikan sumbangan rumah ini.

“Sebelum ini saya duduk di rumah papan yang sudah rosak dan reput. Kalau hujan, air masuk ke dalam rumah. Sekarang saya sangat seronok kerana dapat rumah baharu,” katanya.
Kegembiraan sama turut dikongsi Puan Fazila Norhafifi a/p Lalak, 42, juga dari Kampung Ceros, yang menyifatkan bantuan RRP sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.
Menurutnya, rumah papan yang didiami bersama keluarga sejak hampir 12 tahun lalu semakin uzur dan mengalami kerosakan, sekali gus menjadikan kediaman baharu itu satu anugerah yang amat dihargai.
“Saya sangat-sangat gembira dan berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu, terutama Menteri Besar Pahang yang banyak membantu masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.
“Sekarang saya rasa sangat gembira kerana dapat rumah sumbangan Menteri Besar Pahang. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Sementara itu, Puan J. Kanageshwari, 42, dari Sungai Palas, menyifatkan bantuan yang diterima menerusi Kluster B40 Petani dan Nelayan sebagai suntikan semangat untuk terus mengembangkan perusahaan penternakan kambing yang diusahakannya sejak 1998.
Menurutnya, bantuan berkenaan akan dimanfaatkan bagi menampung keperluan penternakan, khususnya pembelian makanan ternakan.
“Kalau boleh, bantuan yang diterima ini saya mahu gunakan untuk membeli makanan ternakan.
“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana menerima bantuan ini. Saya tahu ramai lagi di luar sana yang memerlukan, jadi saya amat menghargai sumbangan yang diberikan. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Bantuan menerusi pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri itu bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, malah memberikan harapan baharu kepada mereka untuk menikmati kehidupan lebih selesa dan meningkatkan kesejahteraan keluarga. -PAHANGMEDIA

