Oleh: Ain Nadhirah Basha
CAMERON HIGHLANDS, 13 NOVEMBER 2026 : Inisiatif Juadah Makmur yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang terus mendapat penghargaan masyarakat apabila sumbangan makanan kepada jemaah masjid bukan sahaja membantu meringankan beban, malah menjadi simbol keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Seorang penerima, Encik Kamaruzaman Bahaman, 53, dari Tanah Rata, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri khususnya YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas pelaksanaan inisiatif berkenaan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, sumbangan makanan yang disalurkan secara berkala kepada masjid-masjid di Cameron Highlands dan daerah lain membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyantuni rakyat.
“Saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada kerajaan, lebih-lebih lagi kepada Menteri Besar kerana menyumbang setiap minggu kepada masjid-masjid,” katanya.

Sementara itu, Encik Muhammad Faizal Hamid, 55, dari Ringlet berkata, program Juadah Makmur amat dihargai jemaah kerana sumbangan makanan berkenaan telah beberapa kali diterima, khususnya untuk dinikmati selepas menunaikan solat Jumaat.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin dan menyediakan sumbangan kepada jemaah di Masjid Ringlet.
“Saya bersama wakil-wakil jemaah mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang atas segala usaha yang dilaksanakan selama ini,” katanya.

Bagi Encik Nasir Salim, 46, yang berasal dari Sabah dan kini menetap di Ringlet, inisiatif berkenaan turut memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Terima kasih, memang bersyukur sangatlah. Memang berbaloi untuk semua masyarakat. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana menyediakan Juadah Makmur di masjid ini,” katanya.
Program Juadah Makmur merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Pahang dalam menyantuni rakyat menerusi penyediaan makanan kepada jemaah masjid, sekali gus mengeratkan hubungan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat. – PAHANGMEDIA

