Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 13 NOVEMBER 2026 : Bantuan kewangan secara sekali beri (one-off) sebanyak RM200 yang disalurkan Kerajaan Negeri Pahang memberi kelegaan dan kegembiraan kepada golongan warga emas, khususnya dalam membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.
Bagi Encik Sulaiman Ansah, 89, dari FELDA Sungai Koyan 1, bantuan berkenaan amat dihargai dan membuktikan keprihatinan berterusan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan warga emas.

“Syukurlah dapat bantuan ini. Saya bercadang untuk menyimpannya dan menggunakannya apabila diperlukan.
“Terima kasih banyak-banyak kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri atas bantuan yang diberikan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dirinya pernah menerima manfaat menerusi Kad Kesihatan Kasih Makmur sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Puan Mariam Haji Salleh, 81, dari FELDA Sungai Koyan 3, menyifatkan bantuan RM200 berkenaan sebagai pemberian yang cukup bermakna, lebih-lebih lagi apabila ia merupakan kali pertama diterimanya.
“Seronoklah dapat bantuan ini. Walaupun orang tua makan tidak banyak. Terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.

Seorang lagi penerima, Puan Simoh Bua, 82, dari FELDA Sungai Koyan 1, turut menzahirkan rasa syukur dan gembira apabila terpilih menerima bantuan berkenaan yang disifatkan sebagai rezeki buat dirinya.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana dapat bantuan ini. Gembira sangat dan bercadang menggunakannya untuk membeli makanan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas bantuan yang diberikan,” katanya. -PAHANGMEDIA

