Oleh: Syafiqah Jamaluddin
BERA, 12 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan kira-kira RM178,000 bagi menyediakan barangan bantuan banjir untuk daerah Bera sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana sepanjang Monsun Timur Laut.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, bekalan berkenaan akan ditempatkan di 11 pangkalan hadapan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada mangsa yang terjejas.
Beliau berkata, persediaan menghadapi musim banjir di seluruh negeri turut melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.1 juta bagi pembelian barangan keperluan untuk ditempatkan di pangkalan-pangkalan hadapan.
Menurutnya, tahap kesiapsiagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama agensi berkaitan ketika ini berjalan lancar, khususnya dari segi penyediaan bekalan bantuan sekiranya berlaku bencana.
“Alhamdulillah, setakat ini kita nampak persiapan atau kesiapsiagaan JKM dan agensi-agensi berkaitan memang berjalan lancar dengan barang-barang bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Misi Membekal dan Menghantar Bekalan Makanan Kering Pangkalan Hadapan Peringkat Daerah Bera di Kompleks Rakan Muda Daerah Bera, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menggalakkan seluruh rakyat Pahang mendaftar menerusi sistem MyIBJKM bagi membolehkan maklumat isi rumah dikumpulkan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Katanya, pendaftaran berkenaan bukan hanya tertumpu kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir, sebaliknya digalakkan kepada semua orang awam memandangkan kejadian banjir boleh berlaku di luar jangkaan.
“Jangan orang yang ada risiko sahaja, sebab kita tak tahu sekarang ini risiko banjir itu tak dijangka.
“Ada tempat yang tak pernah kena, tiba-tiba kena banjir. Tempat yang biasa kena, tak kena banjir,” katanya.
Justeru, pendaftaran awal menerusi sistem berkenaan penting bagi membolehkan pihak berkaitan memperoleh maklumat lebih terperinci mengenai penduduk dan keadaan isi rumah ketika bencana berlaku, sekali gus membantu mempercepat serta melancarkan urusan penyaluran bantuan kepada mangsa terjejas. – PAHANGMEDIA

