Oleh : Syafiqah Jamaluddin
RAUB, 11 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM20,000 bagi menaik taraf kemudahan awam serta menghargai inisiatif penduduk Kampung Sungai Klau dan Kampung Sungai Chalit menerusi Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Dong, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, daripada jumlah itu, RM10,000 diluluskan bagi membaik pulih taman permainan dan kemudahan berkaitan di Kampung Sungai Klau.
Manakala RM10,000 lagi disalurkan kepada Kampung Sungai Chalit A dan B dengan masing-masing menerima RM5,000 sebagai penghargaan atas inisiatif penduduk membantu menyelaraskan kawasan berkenaan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Raub (MDR).
Beliau berkata, penyelarasan pentadbiran itu merupakan langkah penting bagi memastikan pengurusan kampung lebih teratur, khususnya dalam aspek kebersihan, kutipan sampah dan penyediaan kemudahan awam.
Katanya, penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dijangka membawa perubahan positif kepada persekitaran kampung menerusi penyediaan perkhidmatan yang lebih sistematik.

“Kita mahu melihat transformasi Kampung Sungai Chalit sebelum dan selepas perkhidmatan MDR dilaksanakan di kawasan ini, sekali gus menjadi contoh bagaimana pengurusan kampung dapat dipertingkatkan melalui kerjasama penduduk dan PBT,” katanya.
Menurut beliau, penduduk turut dijangka menikmati kadar bayaran perkhidmatan yang lebih rendah, iaitu tidak melebihi RM250 setahun berbanding kadar sedia ada sebanyak RM30 sebulan atau RM360 setahun.
Dalam perkembangan sama, sebanyak 142 rumah di Kampung Sungai Chalit akan menerima tong sampah hijau secara percuma bagi meningkatkan tahap kebersihan dan pengurusan sisa pepejal di kawasan berkenaan.
Penyediaan tong sampah itu akan dilaksanakan menerusi pengurusan Alam Flora di bawah SWCorp serta pentadbiran MDR.
Beliau turut menggesa kepimpinan Kampung Sungai Klau dan Kampung Sungai Chalit supaya terus bekerjasama dengan MDR bagi memastikan usaha penambahbaikan pentadbiran, kebersihan dan kemudahan awam dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan penduduk setempat. -PAHANGMEDIA

