Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 11 NOVEMBER 2026 : Jelajah Aspirasi Pahang 1st bukan sekadar platform pemimpin mendekati rakyat, sebaliknya membuka ruang kepada penyelesaian segera keperluan penduduk menerusi kelulusan peruntukan serta-merta bagi permohonan yang dikemukakan sepanjang program berlangsung.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendekatan itu merupakan amalan biasa Kerajaan Negeri setiap kali turun padang bagi memastikan permohonan rakyat dapat diberikan perhatian dan tindakan segera tanpa perlu menunggu proses yang panjang.
“Itu adalah amalan biasa. Saya dah minta YB Pegawai Kewangan Negeri, ada bersama dengan saya, apabila kita turun padang, pastinya ada permohonan daripada orang kampung.

“Jadi kita tidak mahu kalau permohonan RM2,000, RM3,000… tunggulah nanti saya balik Kuantan, saya tengok… tak mahu. Jadi saya telah memberikan mereka sejumlah peruntukan yang difikirkan berpatutan untuk diluluskan dengan serta-merta,” katanya ketika ditemui selepas program Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Dong, di sini hari ini.
Katanya, pendekatan itu membolehkan Kerajaan Negeri membawa harapan kepada rakyat menerusi tindakan yang lebih pantas, selain memastikan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi tidak terpinggir.
“Jadi maknanya kita turun padang kita ada bawa harapan kepada rakyat. Pasti ada untuk ‘repair’ longkang, ‘repair’ surau, buat kenduri dan sebagainya. Jadi rakan-rakan saya, Exco boleh luluskan serta-merta kerana kita dah bajetlah peruntukan tersebut,” katanya.

Terdahulu, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menghadiri program Kenduri Rakyat dan Perasmian Kampung Angkat MADANI Kampung Pamah Kulat yang menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan 10 projek pembangunan kampung.
Menurutnya, peruntukan itu telah dibelanjakan dengan baik, termasuk bagi kerja-kerja pembinaan longkang, dewan serta membaik pulih padang bola, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
“Saya melihat peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1 juta telah pun dibelanjakan dengan baik, alhamdulillah. Saya minta supaya peruntukan tersebut ditambah lagi supaya ia terus sampai kepada rakyat dan kumpulan sasar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut merancang memperkenalkan inisiatif Kampung Angkat Pahang 1st yang akan diselia YB Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Pegawai Kewangan Negeri serta YB Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam untuk lebih dekat dengan masyarakat.
Dalam pada itu, Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Dong berkenaan turut diserikan dengan Konvoi Bersama Tok Wan yang disertai kira-kira 600 motosikal, bermula dari Balai Raya Kampung Kuala Keloi sebelum bergerak sejauh kira-kira tiga kilometer menuju ke padang Kampung Pamah Kulat.
Turut hadir, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal; Pegawai Daerah Raub, YH Dato’ Mohd Khuzaidi Harun; barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat. -PAHANGMEDIA

