Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 5 NOVEMBER 2026 : Penubuhan Pusat Penyelarasan GEMA (GCC) diyakini mampu memperkukuh penyelarasan bantuan kecemasan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan syarikat industri di kawasan Gebeng dan Pelabuhan Kuantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, inisiatif itu merupakan langkah penting bagi memastikan tindakan menghadapi kecemasan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan menerusi kerjasama strategik antara pihak industri dengan agensi kerajaan.
Menurutnya, pengurusan kecemasan yang berkesan memerlukan kerjasama menyeluruh, perkongsian kepakaran serta penyelarasan sumber antara semua organisasi yang terlibat.
“Pendekatan ini membawa satu prinsip yang cukup jelas: dalam menghadapi kecemasan, tiada organisasi yang seharusnya bergantung kepada keupayaannya sendiri semata-mata.
“Melalui kerjasama yang tersusun, perkongsian kepakaran dan penyelarasan sumber, keupayaan setiap organisasi dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan untuk menghadapi situasi kecemasan.
“Namun, kerjasama seperti ini tidak boleh dibina hanya apabila sesuatu insiden berlaku. Ia perlu dipupuk lebih awal melalui komunikasi yang baik, latihan bersama dan persefahaman tentang peranan setiap pihak,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan industri bukan sahaja perlu dinilai berdasarkan nilai pelaburan dan pertumbuhan ekonomi, malah perlu mengambil kira keupayaan melindungi nyawa, memelihara alam sekitar serta menjamin kesejahteraan masyarakat.
Katanya, persekitaran operasi yang selamat dan kesiapsiagaan menghadapi risiko merupakan antara aspek penting dalam usaha menarik serta mengekalkan pelaburan berkualiti di negeri ini.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa mengalu-alukan inisiatif yang menyokong pembangunan industri secara bertanggungjawab, meningkatkan keselamatan dan memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Saya ingin menggalakkan syarikat-syarikat ahli GEMA agar terus menjadikan keselamatan sebagai keutamaan pengurusan, di samping memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan dan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Terbuka Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA) dan majlis perasmian GCC di Petronas Emergency Response Center (PECC), Gebeng, di sini.
Beliau turut menggalakkan semua syarikat ahli GEMA supaya memperkukuh hubungan kerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta komuniti setempat bagi memastikan tindakan menghadapi sebarang insiden kecemasan dapat diselaraskan dengan lebih berkesan. -PAHANGMEDIA

