Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Aimi Syafiqa Khairi
LIPIS, 31 OKTOBER 2026: Ibu bapa dan pemimpin komuniti perlu memainkan peranan sebagai benteng pertama dalam membendung penularan penyalahgunaan dadah dengan meningkatkan keprihatinan terhadap masyarakat serta membantu individu terjebak mendapatkan rawatan dan pemulihan sewajarnya.
Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang, Dr Mohd Rafidi Jusoh berkata, masyarakat tidak seharusnya meminggirkan individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, sebaliknya perlu membantu mereka kembali menjalani kehidupan lebih baik.
“Setiap ibu bapa dan pemimpin komuniti menjadi benteng pertama dalam menyekat penularan dadah dan penyalahgunaan bahan.
“Masyarakat perlu bersikap lebih peduli dan tidak meminggirkan mereka yang tersasar, sebaliknya membantu mereka mendapatkan rawatan dan pemulihan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) AADK Negeri Pahang Tahun 2026 di Tapak Pasar Pagi, Kampung Kuala Medang, di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha membanteras penyalahgunaan dadah memerlukan perhatian dan tindakan berterusan semua pihak kerana isu berkenaan bukan sekadar melibatkan aspek penguatkuasaan, malah turut berkait dengan kekeluargaan, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan sosial masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata, komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani permasalahan dadah turut dizahirkan menerusi sokongan berterusan, termasuk peruntukan kewangan melalui Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) peringkat negeri sejak 2022 hingga 2026.
“Kerajaan Negeri Pahang juga sentiasa memberikan komitmen dan sokongan berterusan dari segi peruntukan kewangan melalui Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah peringkat Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail sejak tahun 2022 hingga 2026,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif berimpak tinggi turut dilaksanakan sejak awal tahun ini, meliputi pengukuhan institusi kekeluargaan, pemerkasaan warga pendidik, kepimpinan akar umbi serta pembentukan sahsiah diri murid sebagai benteng awal pencegahan ketagihan dadah.
Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) berkenaan telah digerakkan ke seluruh 10 daerah di Pahang menerusi pelbagai program yang disusun sejak Januari lalu sebelum melabuhkan tirainya di Kampung Kuala Medang.-PAHANGMEDIA

