Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 29 OKTOBER 2026 : Program Ziarah Kasih Speaker Dewan Negeri Pahang wajar diteruskan sebagai platform mengeratkan hubungan serta bertukar-tukar pandangan antara pemimpin semasa dengan tokoh berpengalaman.
Mantan Menteri Besar Pahang, YABhg Tun Datuk Seri Utama Dr. Haji Mohd Khalil Yaakob berkata, program seumpama itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak berkongsi pengalaman dan pandangan, khususnya dalam aspek kepimpinan serta pentadbiran.
“Program Ziarah Kasih ini patut diteruskan lagi. Kita boleh bertukar-tukar pendapat. Seronok apabila kita bercerita dan mengimbau kembali zaman dahulu.

“Terima kasih kepada Dato’ Sri Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin. Saya sangat berbesar hati apabila mereka datang melawat saya,” katanya.
Sementara itu, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kunjungan berkenaan memberi peluang kepada beliau dan rombongan bertukar-tukar pandangan serta mendapatkan nasihat daripada tokoh berkenaan.
Menurutnya, Tun Khalil merupakan antara tokoh politik Pahang yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran, termasuk ketika berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang ke-12 dan Yang di-Pertua Negeri Melaka selama empat penggal.
Beliau berkata, sumbangan Tun Khalil turut merangkumi usaha memacu pembangunan dan pemodenan Pahang, antaranya menerusi pembangunan kawasan Gebeng dan Indera Mahkota serta pembukaan kawasan perindustrian lain.
Pada pertemuan menerusi Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Negeri Pahang itu, Dato’ Sri Mohd Sharkar turut menyampaikan buku meja kopi (coffee table book) Dewan Negeri Pahang kepada Tun Khalil sebagai tanda penghargaan. -PAHANGMEDIA

