Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 27 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM3.78 juta bagi menyediakan dan menghantar bekalan makanan kering ke 167 pangkalan hadapan di seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah proaktif itu dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan bekalan makanan asas tersedia untuk disalurkan kepada penduduk sekiranya berlaku banjir atau bencana secara tiba-tiba.

“Setiap tahun kita melaksanakan persediaan ini sebagai langkah proaktif. Bekalan makanan kering disediakan lebih awal supaya dapat disalurkan kepada penduduk sekiranya berlaku banjir kilat atau banjir secara tiba-tiba,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Penghantaran Bekalan Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Negeri Pahang bagi MTL 2026/2027 di Jelai Inn, Sungai Koyan, di sini, hari ini.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Tuan Ahmad Sazilee Abdul Khairi; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan.

YAB Menteri Besar berkata, peruntukan keseluruhan yang diselaraskan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Pahang itu berjumlah RM3,785,115.30, merangkumi RM3,657,115.30 bagi penyediaan bekalan makanan kering dan RM128,000 untuk kos logistik, pengangkutan serta tenaga buruh.
Sebanyak 332,906 unit atau pek bekalan makanan kering dengan berat keseluruhan 225.11 tan akan dihantar ke 167 pangkalan hadapan di 11 daerah di negeri ini.
Bekalan tersebut merangkumi sembilan jenis barangan asas iaitu beras super import lima kilogram, gula pasir satu kilogram, minyak masak dua kilogram, garam putih beriodin 400 gram, kopi-O, teh uncang, sardin, kari ayam dan biskut campuran.

Menurut beliau, pemilihan barangan dibuat dengan mengambil kira aspek ketahanan dan tempoh luput bagi memastikan bekalan berkenaan boleh disimpan selama beberapa bulan sebelum digunakan ketika diperlukan.
“Bekalan ini dipilih dengan mengambil kira tempoh luput supaya barangan dapat disimpan selama beberapa bulan dan masih sesuai digunakan apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, bekalan yang tidak digunakan atau masih berbaki, khususnya beras dan barangan tertentu, akan diuruskan untuk pelupusan mengikut keperluan.
Penghantaran bekalan ke semua pangkalan hadapan dijadualkan mengambil masa dua minggu, bermula 27 Oktober hingga 14 November ini.
Mengulas persediaan menghadapi musim tengkujuh, beliau berkata penyelarasan kesiapsiagaan bencana dilaksanakan di bawah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, termasuk melalui mesyuarat bagi memastikan semua pihak bersedia menghadapi MTL.
“Di peringkat daerah, pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana juga telah diminta supaya bersiap siaga dan membuat persiapan sewajarnya,” katanya. -PAHANGMEDIA

