Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 27 OKTOBER 2026 : Program Townhall Rakyat Bersama-sama YAB Menteri Besar Pahang mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 2,000 orang hadir pada program yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam tadi.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sambutan yang diterima membuktikan program berkenaan menjadi platform penting untuk beliau bersemuka secara langsung dengan rakyat.
Katanya, program itu juga memberi peluang kepadanya untuk menerangkan dasar-dasar Kerajaan Negeri Pahang, selain mendengar sendiri pandangan, cadangan serta permasalahan yang dibangkitkan oleh masyarakat.

“Alhamdulillah, saya dapati sambutannya bagus. Ini adalah satu platform untuk saya bersemuka dan dalam masa sama boleh menerangkan dasar-dasar negeri Pahang,” katanya selepas selesai program berkenaan.
Majlis turut dihadiri YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal; barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Menurut YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, pelbagai soalan yang dikemukakan sepanjang sesi berkenaan adalah baik dan akan diambil kira untuk penelitian lanjut oleh Kerajaan Negeri.
Ujarnya, setiap cadangan yang dikemukakan perlu diteliti terlebih dahulu dengan mengambil kira kedudukan kewangan negeri serta kemampuan untuk melaksanakannya.

“Dipertimbangkan, kita kaji. Kalau sekiranya kedudukan kewangan baik, boleh dilaksanakan, kita akan laksanakan. Asalkan ianya untuk rakyat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau yang berpuas hari dengan program berkenaan turut bercadang untuk meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang selain bercadang membawa program berkenaan ke lokasi lain bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk turut serta.
“Ya, saya sangat berpuas hati. Dua jam pun rasa macam 40 minit, tak puas. Kadang-kadang banyak lagi yang kita nak ‘elaborate ‘tapi tak sempat, jadi kita ambil yang penting-penting sajalah,” katanya.
Beliau dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menyifatkan program berkenaan sebagai ruang untuk mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dengan rakyat, di samping memastikan suara serta keperluan masyarakat terus diberi perhatian.-PAHANGMEDIA

