Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 : Kampung Merapoh di Lipis dinobatkan sebagai penerima tempat pertama Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st yang julung kali dianjurkan di negeri ini, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sijil pengiktirafan.
Tempat kedua menjadi milik Kampung Bolok Hilir, Temerloh yang menerima RM50,000 dan sijil, manakala Kampung Bukit Kelulut, Temerloh menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM25,000 dan sijil.
Tujuh kampung lain yang terpilih dalam senarai sepuluh kampung terbaik serta penerima Anugerah Khas masing-masing menerima RM5,000.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri Pahang menerusi PLANMalaysia Pahang memperkenalkan anugerah berkenaan sebagai inisiatif mengiktiraf kampung tradisi yang berjaya meningkatkan kesejahteraan masyarakat dari aspek fizikal, sosial dan ekonomi.
Beliau berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan keseluruhan RM200,000 bagi menjayakan penganjuran sulung itu sebagai tanda komitmen memastikan agenda kesejahteraan turut meliputi kawasan kampung yang menjadi sebahagian daripada warisan dan identiti masyarakat Pahang.
“ Jika di peringkat kebangsaan terdapat pengiktirafan terhadap bandar bahagia, kita di Pahang mahu turut memberikan pengiktirafan kepada kampung tradisi yang berjaya mewujudkan persekitaran kehidupan yang baik untuk penduduknya.
“Untuk penganjuran kali pertama pada tahun ini, sebanyak 60 daripada 1,933 kampung tradisi di seluruh Pahang telah mengambil bahagian, di mana sepuluh kampung terbaik serta penerima Anugerah Khas dipilih untuk menerima pengiktirafan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif itu bukan sekadar memberi pengiktirafan, malah bertujuan menggalakkan penduduk kampung bersama-sama menjaga kebersihan, memperindah persekitaran, memperkukuh hubungan kejiranan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Tambah beliau Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st ini juga bakal diteruskan sebagai acara tahunan bagi menggalakkan lebih banyak kampung tradisi berusaha mewujudkan persekitaran kehidupan yang selesa, harmoni dan sejahtera untuk penduduk. -PAHANGMEDIA

