Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah proaktif menyediakan tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal rel sebelum projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) beroperasi, bagi memastikan keperluan tenaga kerja terlatih dapat dipenuhi selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif menerusi Program Latihan Kemahiran Industri – East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) itu dilaksanakan dengan kerjasama Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Akademi Rel Pahang (ARP), UCYP University dan Yayasan Pahang.
Menurutnya, langkah itu membolehkan tenaga kerja tempatan memperoleh kemahiran teknikal yang diperlukan industri lebih awal, sekali gus memastikan tenaga mahir tersedia apabila ECRL mula beroperasi kelak.
“Ini sebenarnya tindakan proaktif Kerajaan Negeri Pahang bersama MRL dengan kerjasama UCYP dan Yayasan Pahang sebagai platform untuk membantu menghantar pelajar-pelajar ini mengikuti latihan teknikal di China.

“Apabila projek ini siap, kita sudah mempunyai pekerja-pekerja terlatih dari segi teknikal yang boleh menjalankan tanggungjawab, termasuk sekiranya berlaku kerosakan atau keperluan pembaikan yang perlu dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Sempena Tamat Kursus Pelatih PLKI-ECRL Sesi 2025/2026 Akademi Rel Pahang (ARP), UCYP University di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata seramai 47 pelatih telah menamatkan latihan berkenaan dan kesemua mereka telah ditawarkan pekerjaan oleh MRL, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha menyediakan tenaga kerja mahir lebih awal bagi memenuhi keperluan industri rel.
Menurutnya, inisiatif itu turut memberi kelebihan kepada anak-anak Pahang untuk bersaing mendapatkan pekerjaan berkaitan ECRL, khususnya di tujuh stesen yang terletak di negeri ini.

“Apabila ada projek, sudah tentu akan ada peluang pekerjaan dan kita berharap pengisian jawatan, khususnya di tujuh stesen ECRL di Pahang, dapat memberi keutamaan kepada anak-anak negeri ini.
“Kita mengambil inisiatif menghantar mereka mengikuti latihan terlebih dahulu supaya mereka mempunyai kemahiran dan sijil yang dapat menjadi kelebihan apabila bersaing mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri bersedia meneruskan usaha melahirkan tenaga kerja mahir menerusi kursus lanjutan sekiranya terdapat keperluan, dengan kerjasama MRL.
“Usaha ini tidak terhenti setakat ini sahaja. Sekiranya perlu ada kursus lanjutan, kita juga sanggup membiayai dan membantu mereka. Jika ada keperluan lain, kita bersedia menghantar mereka mengikuti kursus di tempat lain dengan kerjasama MRL.
“Bagaimanapun, kursus itu mestilah selari dengan kehendak MRL kerana kemahiran teknikal yang diperlukan perlu memenuhi keperluan syarikat,” katanya.
“Kereta api ini dari Kelantan sampai ke Gombak. Saya difahamkan negeri lain tidak menyediakan kemudahan latihan sebegini, jadi anak-anak Pahang diberi peluang untuk bertugas di luar Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

