Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 OKTOBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli menyempurnakan Pelancaran Buku Daulat Tuanku Sempena Sambutan 50 Tahun Muzium Pahang di Museum of Contemporary Art (MOCA), di sini.
Ketibaan Paduka Baginda Sultan Pahang pada 8.30 malam diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang sedondon berbusana tenun Pahang berwarna merah manggis.

Turut mengiringi keberangkatan tiba Paduka Baginda berdua, YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketibaan Paduka Baginda berdua disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; dan Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa melawat Pameran Khas Sempena 50 Tahun Muzium Pahang di Galeri Aras Bawah muzium sebelum berkenan berangkat ke majlis perasmian di galeri aras satu muzium.

Kebawah Duli Paduka Baginda berdua kemudiannya dipersembahkan dengan persembahan ucapan oleh Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang.
Al-Sultan Abdullah kemudiannya turut berkenan menurunkan tandatangan baginda diikuti dengan tandatangan oleh Tengku Ampuan Pahang pada Buku Daulat Tuanku yang dilancarkan.
Paduka Baginda Sultan Pahang turut menzahirkan rasa bangga dengan perkembangan muzium berkenaan yang menyambut ulang tahun ke-50, memandangkan bangunan itu dahulunya merupakan istana tempat moyang baginda bersemayam.
Baginda turut menzahirkan rasa bangga melihat perubahan dan perkembangan muzium berkenaan yang disifatkan amat membanggakan, selain berharap kemudahan serta tarikan sedia ada terus ditambah baik. -PAHANGMEDIA

