Oleh : Ahmad Fansuri Mohamad Nasir
Foto : Muhammad Zhafranhaziq Zahari
MARAN, 21 OKTOBER 2026 : Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan segera RM20,000 bagi menaik taraf Dewan Belia Kampung Jara, Kuala Sentul, bagi menyediakan kemudahan lebih baik untuk kegunaan dan aktiviti golongan muda setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, peruntukan itu diharap dapat disalurkan segera bagi membolehkan kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan.
“Saya setuju untuk menaik taraf Dewan Belia Kampung Jara ini. Peruntukan awal yang kerajaan negeri salurkan adalah RM20,000.

“Saya harap dapat disalurkan segera untuk kemudahan anak muda atau belia di kampung ini,” katanya ketika ditemui sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st DUN Kuala Sentul di Kampung Jara.
Dalam lawatan itu, beliau turut meminta Majlis Belia Daerah Maran membantu menyegerakan penubuhan pertubuhan belia di kampung berkenaan bagi memudahkan kerajaan negeri menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti dan program pembangunan belia.
Selain meninjau kemudahan sukan dan dewan belia, beliau turut memberi perhatian terhadap keperluan meningkatkan akses internet di kampung itu, termasuk menyegerakan pemasangan perkhidmatan Unifi.

Menurutnya, ketua kampung diminta menyediakan senarai keperluan serta permohonan penduduk untuk dikemukakan kepada Telekom Malaysia (TM) bagi tindakan lanjut.
“Saya minta ketua kampung untuk buat senarai keperluan dan permohonan daripada rakyat itu sendiri. Saya minta tindakan segera.
“Jadi senarai itu kita akan serahkan kepada TM,” katanya.
Beliau berkata, akses internet kini menjadi keperluan penting masyarakat, khususnya bagi urusan dalam talian, justeru penduduk di kawasan kampung juga perlu menikmati kemudahan berkenaan.

Pada program sama, YB Dato’ Fadzli turut menyertai aktiviti berjalan pantas (brisk walk) sejauh lebih tiga kilometer bersama penduduk setempat sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Katanya, aktiviti seumpama itu mampu menggalakkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kita nak galakkan semua lapisan masyarakat, tak kira pelbagai peringkat umur, untuk sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya. -PAHANGMEDIA

