Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 21 OKTOBER 2026 : Bantuan Kerajaan Negeri Pahang yang disalurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta persatuan membantu melengkapkan keperluan pengurusan pejabat dan menyokong pelaksanaan aktiviti masyarakat di peringkat akar umbi.
Pengerusi JPKK Felda Jengka 10, Encik Jantan Mat Saman berkata, sumbangan diterima itu amat bermakna bagi membolehkan pihaknya membeli kelengkapan pejabat yang sebelum ini tidak mencukupi.
“Mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Tok Wan kerana memberi sedikit sumbangan untuk membeli peralatan pejabat.

“Sebab dulu saya dapat pejabat je. Pejabat kosong, kerusi meja tak ada. Jadi hari inilah alhamdulillah,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Kerajaan Negeri yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Daerah dan Tanah Maran, di sini.
Menurutnya, bantuan berkenaan mencerminkan perhatian Kerajaan Negeri terhadap keperluan pengurusan JPKK, sekali gus membantu memudahkan urusan pentadbiran dan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Beliau yang telah berkhidmat sebagai ketua kampung sejak 1981 turut berharap agar rakyat di peringkat akar umbi untuk terus memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Menterj Besar Pahang.
“(Kerajaan Negeri) tak pernah mengabaikan dan saya harap semua kawan-kawan yang lain dapat perhati dan dapat beri kerjasama memberi sokongan kepada Tok Wan. Tak ada sebab kalau kita tak menyokong MB kita ni ataupun Tok Wan kita ini,” katanya lagi.

Sementara itu, penerima sumbangan, Encik Azman Mokhtar @ Jantan yang juga Pengerusi JPKK Kampung Serengkam merangkap Presiden Persatuan Silat Kebangsaan Daerah Maran (PESAKA Maran), berkata bantuan diterima akan dimanfaatkan bagi menyokong aktiviti persatuan yang melibatkan 13 perguruan silat di daerah berkenaan.
Tambahnya, sumbangan itu membolehkan PESAKA Maran meneruskan pelbagai aktiviti sekali gus memperluas penglibatan masyarakat dalam kegiatan persatuan.
““Jadi amat-amat bersyukur dan mudah-mudahan MB kita, Tok Wan, diberkati Allah dan diberi kesihatan yang baik bersama tim beliau yang kata orang itu memang ‘the best’ lah ya, terbaik di Pahang.
“Saya Azman Mokhtar @ Jantan, sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih. Terima kasih Tok Wan, Pahang 1st!,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar Pahang atas sumbangan berkenaan serta mendoakan agar beliau dan pasukan pentadbiran negeri sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik.
Sumbangan Kerajaan Negeri yang disampaikan pada majlis berkenaan melibatkan seramai 19 penerima dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM379,316 bagi membantu memenuhi keperluan penerima di daerah Maran. -PAHANGMEDIA

